Sunday 11 June 2017

MADRASAH RAMADAN












Bulan Ramadan bulan barakah
banyakkan amalan serta ibadah
jangan kita endah tak endah
mencari rahmat keredaan Allah

iblis syaitan sudah dibelenggu
godaan mereka tidak bertamu
nafsu kita masih menderu
elakkan daripada kuasai kalbu

amal kebajikan perlu digandakan
banyak bersedekah jadi keutamaan
zakat fitrah kena tunaikan
laksana segera jangan tangguhkan

Tadarus Quran kita laksana
30 juzu' perlu dibaca
tajwid betul fahami makna
panduan hidup insan bijaksana

Tarawih witir kita kerjakan
penuhi masjid jadikan kebiasaan
solat fardu jangan lupakan
solat berjemaah juga jayakan

Sepanjang berada di bulan Ramadan
jangan jadikan pesta makanan
kawal nafsu serta godaan
berpada-pada dalam tindakan














Sunday 28 May 2017

RAMADAN KEMBALI LAGI


Dua tahun menyepi, blog ini kembali hadir ke  dunia maya, bertepatan dengan hadirnya bulan Ramadan barakah. Dan post ini mengimbau apa yang berlaku dalam tempoh 2015 hingga tahun 2017 ini.

Berhubung keluargaku, anak bongsuku Muhammad Aiman kini di IPG Pulau Pinang, mengambil jurusan Matematik. Abangnya Muhammad Asyraf kini di UNIKL, mengambil jurusan Islamic Finance. Seorang lagi anak lelakiku di UNIKL, mengambil jurusan Industrial Logistic.

Anak sulongku  Nur Wahida, yang dahulu menuntut di USIM, Nilai, kini bekerja di sektor swasta (CCM)  di Bangi manakala adiknya Nur Syuhada bertugas sebagai pendidik di SK Johor Jaya, Pasir Gudang.

Aku masih bergelar pendidik di SMK Tun Ismail Batu Pahat manakala isteriku masih menyumbangkan bakti untuk tahun akhirnya sebagai guru di SMK Tun Aminah, Batu Pahat.

Tentu sekali aku suka mengimbas kenangan  semasa berumrah bersama isteri dan dua anakku Disember lalu. Kami terkandas selamsa 10 hari dan terpaksa membeli tiket sendiri untuk kembali ke tanah air. Kami menggunakan pesawat Jets Airways India untuk mendarat di Lapangan Terbang Changi, Singapura.

Sekembalinya ke kampung halaman, aku dan isteri dimasukkan ke hospital dan ditahan 5 hari kerana disyaki kena virus unta (Mers Cove). Sebelum itu aku mengalami batuk darah. Kami dikuarantin. Memang kami benar-benar dipisahkan daripada pesakit lain! Syukur kami disahkan negatif.

Sebelum menunaikan umrah, kami ke Acheh, untuk melihat kesan-kesan tsunami. Memang menarik pengalaman di sana- mendengar cerita mangsa bahawa air setinggi pohon kelapa menyapu segala, melawat muzium tsunami, melihat masjid-masjid yang kekal bertahan semasa tsunami. Subhanallah.


April lalu, aku ke Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan berpeluang mengisi satu slot Bicara Buku/Sesi Bersama Penulis.  Antalogi sajakku, Sejalur Restu, kini dipasarkan dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Kepada yang berminat memilikinya, boleh menghubungiku.



Minggu lalu, kami ke Cameron Highlands, mungkin kunjungan  kali ke 10! Cuaca yang dingin dan nyaman, melawat Pasar Kea, melihat tanaman strawberi Kampung Sedia, melewati ladang teh dan menghirup teh panas di Cameron Valley - sesuatu yang amat menyeronokkan. Insya-Allah kami datang lagi!


Bulan lalu, aku menghadiri pertemuan semula grup bekas pelajar SMK Dato Onn, Batu Pahat di D Sawah, Sarang Buaya.. Lebih 50 ahli hadir. Memang happening!



Kini, cuti sekolah dilalui, dan memberi ruang kerehatan daripada kesibukan urusan sekolah , untuk bersama keluarga. Dapatlah mengemas kini pelbagai urusan peribadi, membaca kalam suci, berterawih dan sebagainya..

Sekian dahulu, jumpa lagi!

Thursday 5 February 2015

2015 MEMASUKI BULAN FEBRUARI

Tahun 2015 kian bergerak ke hadapan. Pelbagai peristiwa meniti datang dan berlalu..Hadapi dengan gagah dan berani.
Maka diri perlu fikirkan dan bertindak mengikut landasan sewajarnya!