Tuesday 19 February 2013

ZAMAN SEKOLAHKU (2)


Oleh sebab aku bertubuh kecil dan nampak takut-takut di sekolah, maka ada rakanku sendiri yang suka membuli. Aku ditolak, diambil barangku dan  macam-macam lagi. Kejadian berlaku ketika aku dalam  darjah tiga. Apabila kuadukan kepada Ibu, maka Ibu pun mengadu kat Ayah.

Apalagi, Ayah mahu aku bawa dia ke rumah budak itu (Aku tidak menyebut namanya di sini). Kami bermotosikal ke rumah budak itu. Sesampainya di rumah budak itu (melalui jalan kampung dan penuh pohon merimbun), Ayah segera memanggil nama budak itu. Emak budak itu keluar. Ayah membebel kepada maknya, lalu maknya memanggil budak itu (yang mulanya tidak berani keluar).

 Dengan menggenggam surat khabar, Ayah menepuk-nepuk di bahu budak itu dengan memberi amaran keras. Budak itu menjadi takut. Kalaulah dia cuba menjawab, rasanya naik penampar Ayahku! Budak itu  berjanji tidak buat lagi! Aku lega.

Semasa dalam Darjah 4, aku  mula meminati mata pelajaran Matematik dan dalam satu ujian , aku mendapat markah 100 peratus. Aku menjadi terlalu gembira. Ada enam orang lagi mendapat 100 peratus, dan kesemuanya perempuan. Jadi aku lelaki tunggal mendapat markah penuh!.

 Pada masa itu, pasukan bola sepak Kampung Bagan agak kuat, dan antara pemain handalan pasukan ialah abang sulungku, Rosdi. Pasukan itu rajin menyertai pertandingan peringkat mukim dan daerah. Aku masih ingat menonton perlawanan-perlawanan itu dan kagum dengan kemahiran abangku menggelecek bola, kelajuan Syawal sebagai pemain sayap dan kemantapan pertahanan di bawah Mail Debab dan Atan.
Daripada melihat permainan mereka, aku makin minat bermain bola.

 Maka aku dan rakan-rakan sebayaku mula aktif bermain bola di halaman rumahku. Kami gunakan bola plastik. Harganya 60 sen..
Apabila main tiga empat hari, biasanya bola itu bocor, lalu kami beli lagi!  Halaman rumahku menjadi `stadium’ tempat kami bermain. Dari lepas Asar, kami bermain hingga maghrib. Kekadang, setelah Ayahku  bercekak pinggang memandang dengan wajah masam mencuka, baru kami berhenti main.

Kemudian kami guna bola getah. Padang SK Bagan B menjadi `stadium’ kami bermain. Kami ada pasukan yang  sanggup pergi ke kampung-kampung berhampiran untuk mengadakan perlawanan. Anggota pasukanku ialah: Aku, Fuad, Md Zin, Jamal, Khalid, Kamal, adikku Zul, Zul Bagan Lama, Azmi dan Jais. Di Jalan Baru , ada team yang diketuai oleh Salleh Jabar.  
Kg Parit Ibrahim pula, ada team di bawah Zulkifli Katan. Memang sengit perlawanan yang dijalankan. Kerana apa? Kerana, 22 pemain di padang yang tidak sebesar mana! Sekali bola di pintu gol lawan, hampir 20 pemain berkerumun berebut bola!

  Kemuncak pembabitanku dalam bola sepak di sekolah rendah ialah, aku terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan peringkat  zon semasa aku dalam Darjah 6. Di peringkat awal, kami mengalahkan Mampan 4-0, kemudian mengalahkan Gambut 2-1. Akhirnya kami masuk final dan bertemu Peserian.

  Kami menjalani latihan pusat sejak mula. Kami dikumpulkan di sekolah dan aku masih ingat, sebelum latihan, kami dibawa ke bangunan belakang sekolah.
Di situ Cikgu Mohd Masrom dan Cikgu Salleh Atan akan memberi motivasi. Kemudian sesi menyapu asap kemenyan ke kaki kami dilakukan sambil membaca selawat. Berasap bilik belakang itu dibuatnya!

 Semasa pertandingan, aku bermain di bahagian sayap.
Pada masa itu, pemain tidak dilatih untuk turun naik. Maka aku banyak menunggu bola datang kepadaku, lalu kalau dapat, aku sepak ke tengah. Tendanganku boleh tahan kuat. Aku masih ingat, aku mengambil sepakan sudut beberapa kali dan juga ketika aku membawa bola, namaku dijerit oleh murid-murid perempuan kelasku di tepi padang. Aku berasa seronok!

   Final bertemu Peserian menjadi perlawanan yang sangat sukar bagi kami. Pasukan mereka memang setakuk lebih hebat, dan akhirnya kami tewas 4-0!
Walaupun kami kecewa, kami sedar bahawa Peserian memang jauh lebih mantap daripada kami!

Bersambung  lagi.

Monday 18 February 2013

ZAMAN SEKOLAHKU (1)




 Ceritaku akan berkisar  peristiwa-peristiwa semasa di sekolah rendah, iaitu antara tahun 1968-1973. Banyak kenanganku dalam tempoh itu.

Aku memasuki Darjah 1 pada tahun 1968. Pada masa itu belum ada tadika, jadi aku hadir ke sekolah dalam keadaan takut dan malu. Ada juga rakanku yang menangis-nangis minta dibawa balik.
Syukur aku tidak begitu!

  Dalam keadaan aku begitu, kakakku Rusnah sering menjadi penyelamat kepada aku. Banyak pertolongan diberikan dan sentiasa sedia membantuku. Kami makan bekal bersama.  Dia akan mencariku pada waktu rehat. Aku yang masih tidak faham selok belok di Sekolah Bagan B itu, akan dibawanya ke sekitar sekolah. Kalau dia tiada, aku seperti tenggelam punca.

  Apabila aku memasuki Darjah 2, aku sudah ada rakan-rakan karib. Antaranya Razif, Shamsudin, Wahid, Daud dan Ibrahim. Kami makan bekal bersama-sama, malah berkongsi bekalan yang dibawa. Selalu juga makan dengan Razif. Macam-macam aku dapat rasa – daripada pisang goreng, ubi rebus lawan sambal tumis, nasi lemak, ikan belukang, mi goreng dan sebagainya. Sungguh meriah keadaannya di bawah bangunan sekolah itu jadinya!

  Cikgu-cikgu pada masa itu memang baik. Aku masih ingat guru kelasku, namanya Cikgu Isa. Suaranya lembut dan pandai melayan kerenah kami. Seorang lagi ialah Cikgu Hendon, yang mengenali ibu bapaku. Cikgu Hendon cukup prihatin dengan sebarang masalahku.

  Seorang lagi ialah Cikgu Muhamad Masrom. Beliau juga mengenali keluargaku. Aku masih ingat, dia melantikku sebagai ketua darjah. Balik rumah, aku mengadu kepada Ibu bahawa aku tidak sanggup. Lalu Ibu membuat surat kepada Cikgu Muhamad.  Apabila beliau membacanya, beliau segera  membawaku ke biliknya.

  ”Saya mahu jadikan awak macam kakak awak, yang berjaya dalam peperiksaan Penilaian darjah 5. Awak kena terima!”

   Terkejut aku dibuatnya. Nampak keseriusan wajahnya. Beliau mahu aku berjaya, dan pada masa yang sama menjadi ketua darjah yang bagus.

   Seorang lagi guru ialah Cikgu Zakaria, yang mempunyai isteri di sekolah itu, iaitu, Cikgu Aishah. Sekali tu, aku melakukan kesalahan. Beliau marah dan menampar-nampar perutku. Sakit!

   Kelasku sungguh meriah. Kelas kami dengan kelas lain hanya dipisahkan oleh dinding pemisah yang boleh dialihkan. Apa lagi, apabila kelas sebelah tak da guru, riuh rendah jadinya. Maka Cikgu Muhamad akan menjenguk dan menjerit, ”Diam!”

   Aku dan rakan-rakan memang kaki bola. Ketika Pendidikan  Jasmani, kami main all out. Berpeluh-peluh kami mengejar bola. Aku agak bagus main bola, tetapi tidak sebagus Wahid dan Mazlan. Mereka bintang bola ketika itu. Tetapi ada sekali itu, ketika bermain bola, kakiku terkena kaca yang agak besar. Berdarah-darah jadinya. Aku menangis kesakitan dan dibawa ke klinik oleh tukang kebun, Encik Pauzan yang mendukungku. Kena jahit kakiku itu.

  Ada yang mengatakan bahawa seorang rakanku menolakku hingga aku jatuh di tepi padang itu hingga kejadian di atas terjadi. Aku tidak pasti. Aku tidak berdendam dengan sesiapa. Aku anggap kejadian itu sebagai kemalangan yang bisa terjadi kepada sesiapa.


Bersambung lagi...