Wednesday 12 December 2012

MELANCONG KE SABAH

DALAM BOT MENUJU PULAU MANUKAN


Kunjungan ke Sabah bersama isteri dan lima orang anak kami baru-baru ini  mengundang kegembiraan kerana sudah lama berhajat ke sana. Hajat kami dimakbulkan Ilahi.

Dengan pesawat MAS, kami mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Saya tidak menyangka LTKK besar dan moden, tidak seperti yang dibayangkan, malah lebih besar daripada lapangan terbang Auckland, Palembang dan Medan.
DI TAMAN BOTANI, KAKI GUNUNG KINABALU


Ada banyak tempat menarik di Sabah. Mula-mula kami  membelah banjaran Crocker untuk ke Kundasang, hampir tiga jam perjalanan dari Kota Kinabalu. Kami pergi ke Botanical Garden , terletak di kaki Gunung Kinabalu. Kami sampai diiringi hujan lebat dan suhu   yang dingin sekali. Pemandangan kurang jelas kerana berkabus.

  Kami kemudian ke Ranau, iaitu pasar tamu Ranau dan kemudian ke Poring. Di situ begitu ramai insan berada di kolam air panas Poring. Kami pergi menapak ke Jambatan Gantung  (Canopy Walk) Poring. Sebelum itu kena kembara hutan terlebih dahulu.
BERSAMA ISTERI, DI PANTAI PULAU  MANUKAN


  Jambatan gantung Ranau berketinggian 90 meter dan sepanjang 185 meter. Memang terasa gayat kerana berada di atas pokok-pokok besar dan tali gantung itu  bergoyang-goyang!

PEMANDANGAN LAUT DEKAT SINSURAN, KOTA KINABALU
  Pada hari kedua, kami berjalan di sekitar Kota Kinabalu. Kami pergi ke pasar Gaya, Pasar Pilipina dan Pasar Raya Centre Point . Ada ramai pelancong di sana. Kami kemudian menaiki bot ke Pulau Manukan dan Sapi. Seronok bermandi manda , bersnorkel di air laut yang sungguh jernih dan dipenuhi ikan pelbagai warna.


  Pada hari ketiga kami ke Beaufort untuk ke Kota Klias, dua jam perjalanan dari Kota Kinabalu. Di situ kami menaiki bot untuk melihat pelbagai binatang di kawasan sungai Klias yang merupakan hutan pokok bakau.
  
FOTO DI PEKAN NABALU

 
Yang menarik ialah monyet Proboscis, monyet berhidung panjang  yang unik. Haiwan ini hanya  makan daun  muda dan pucuk daun serta bulu berwarna kemerah-merahan. Pada sebelah malam, kami dibawa melihat kunang-kunang yang sungguh banyak pada pelbagai  pokok. Pemandangannya seperti pokok Krismas yang dihias lampu kelap-kelip.

  
Kami turut menyusuri bandar Kota Kinabalu berjalan kaki untuk merasa sendiri kehidupan di sana. Kami sentiasa didekati penjual jam, kamera dan pelbagai barang peribadi. Memang murah, tetapi meragui kualiti dan cara mereka mendapat bekalannya.


   Kami tidak berkesempatan untuk meneroka negeri Sabah secara lebih menyeluruh. Tempat-tempat seperti Tawau,  Semporna,  Sandakan dan Kudat  di luar daripada jangkauan kami kerana jarak perjalanan yang jauh.

 Apapun, kunjungan kami ke Sabah membawa seribu erti dan pengalaman menarik serta dapat memberi kepuasan. Insya Allah kami akan datang lagi pada masa depan!