Monday 30 July 2012

NEW ZEALAND MENGGAMIT NURANI!


PEMANDANGAN BANDAR AUCKLAND DARI  MENARA SKY TOWER

Meskipun telah dua bulan berlalu sejak saya meninggalkan bumi Kiwi, namun kenangan semasa di sana memang sukar dilupakan. Suhu yang mencecah 12 darjah Celsius bukan halangan untuk saya menikmati  percutian bersama isteri di sana, di sampIng melawat anakanda di sana, Syuhada.

  New Zealand memang cantik. Pantainya berfiord, kawasan desanya bersih dan dipenuhi pohon pelbagai warna - kebanyakan berwarna jingga. Seronok melihat kambing biri-biri dan lembu tenusu begitu banyak sepanjang perjalanan saya ke beberapa tempat di desa Pulau Utara.
DI AIR TERJUN TIKIPUNGA, WHANGAREI

  Saya menyewa kereta di sana dan dengan kereta Hyundai Getz, saya berkereta sejauh 200 kilometer ke utara Auckland dan sejauh hampir 300 km ke selatan. Antara bandar yang saya kunjungi ialah Whangarei, Rotorua, pekan Orewa selain mengunjungi beberapa tempat di Auckland seperti Monut Eden dan Domain.
GIZA TE PIUA DI ROTORUA

   Mercu tanda Auckland, iaitu Sky Tower dan jambatan Harbour turut saya kunjungi. Melihat kesibukan pusat bandar di Queen Street dan kawasan Wakefield Road  di samping menyusuri lebuh raya di luar bandar adalah pengalaman yang menarik!

   Auckland merupakan bandar terbesar di NZ dengan penduduk 2 juta orang. Jalan rayanya tidak sibuk, tetapi pemandunya memang berhemat semasa di jalan raya. Tidak ada bunyi hon yang kuat, tidak ada yang memecut laju dan mereka sentiasa sabar di lampu isyarat.
DI MUZIUM MAORI BERHAMPIRAN WHANGAREI

  Saya juga tertarik dengan keramahan penduduk NZ. Mereka tidak ada masalah berinteraksi dengan rakyat asing. Dan memanglah Auckland mempunyai penuntut asing yang ramai! Di mana-mana, saya bertembung dengan pelajar dari India, Pakistan, Arab Saudi, China, Jepun  selain dari negara-negara Asia Tenggara.

  Menariknya, tidak ada masalah mendapat makanan halal. Ada banyak kedai kebab milik rakyat keturunan Turki dan  Pakistan. Saya juga berpeluang makan di kedai milik rakyat Malaysia. Di situ makan nasi ayam. Harganya boleh tahan, iaitu NZ$13 (RM31) sepinggan!
ISTERI SAYA DAN SYUHADA DI MENARA SKY, AUCKLAND


  Paling tidak dilupakan, melawat kawasan Giza di Rotorua. Air pancutan panas dari perut bumi boleh mencapai ketinggian 50 meter. Di Rotorua, saya nampak sebuah pasar mini menjual barangan Asia. Pemilik kedai  keturunan Cina berasal dari Singapura begitu seronok bertemu kami. Dia seboleh-bolehnya cuba berbahasa Melayu!
DI  DOMAIN, TAMAN BUNGA AUCKLAND

  Percutian hampir seminggu itu dirasakan terlalu singkat. Saya tidak sempat meneroka hingga ke Wellington atau pergi ke Christchurch dan Queenstown di pulau Selatan. Insya Allah jika dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki, kami akan ke sana!
DI PINTU MASUK GIZA TE PIUA


Wednesday 25 July 2012

SEMINGGU PUASA

DI RUMAH KHAMSULDIN BERSAMA ISTERI DAN SDR YAHYA ISA

Seminggu berpuasa - Alhamdulillah dapat dilaksanakan dengan baik dan kesihatan mengizinkan.  Setakat ini pula isteri saya dapat memasak juadah berbuka. Dari mihun goreng ke nasi lemak, ayam kari, asam pedas dan sebagainya.. Terbuka selera!

   Cuma keadaan di rumah belum begitu terurus. Sekarang ini tembok depan sedang dibuat yang baru dan. Sebelum ini tembok tepi telah dibina. Kos keseluruhan dijangka RM9,000. Dah lama rancang, tetapi baru kini dilaksanakan. Semuanya dijangka siap empat lima hari lagi.

    Tetapi kos itu terlalu kecil berbanding dengan kos membina dan melengkapkan rumah rakan saya, Khamsuldin. Pendawaian elektrik  sahaja RM25,000. Kabinet dapurnya RM12,000 dan banyak lagi kos lain. Keseluruhannya pembinaan dan kelengkapan rumahnya memakan kos lebih setengah juta ringgit!

    Kami berbuka puasa bertiga di rumah. Memanglah tidak sama situasinya berbanding jika semua ahli keluarga 7 orang berada di rumah... Apapun, kegembiraan dan kepuasan ketika berbuka tetap dirasakan!


Tuesday 17 July 2012

TULISAN SAYA KELUAR LAGI...


Tulisan saya keluar lagi.. Kali ini surat aduan yang saya hantar ke akhbar Utusan Malaysia disiarkan. Aduan saya tentang Jalan Bindu yang sempit, berlubang dan tiada berlampu isyarat lengkap dengan gambar menjadi berita utama dalam ruangan Suara Johor.

   Menyentuh hasil tulisan saya, telah banyak disiarkan. Sama ada dalam bentuk sajak, pantun, surat pembaca,berita sekolah dan sebagainya. Sebahagiannya dapat dikumpul, sebahagian lagi tidak sempat dikumpulkan.

  Saya mula menghantar tulisan ke media massa sejak tahun 1986. Pada masa itu, saya menghantar artikel tentang langkah-langkah memperkasa sukan bola sepak di negara kita dan kemudian tersiar dalam akhbar Berita Harian. Panjang artikel itu kira-kira 1,500 perkataan. Ketika tersiar, saya rasa amat gembira!

 Selepas itu saya  mula menghantar pelbagai karya ke akhbar  Utusan Malaysia, Watan, Mingguan Kota, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Jendela Selatan, majalah sekolah dan lain-lain.

  Walaupun bayaran ada diterima, tetapi tidaklah seberapa. Puisi yang tersiar dalam Pelita Bahasa dibayar RM100 manakala sajak di akhbar tempatan dibayar RM50. Walaupun agak kecil, namun saya tetap gagahi diri saya untuk berkarya!

  Kini, lebih 30 sajak saya tersiar di media. Saya pula telah menghasilkan lebih 200 sajak/syair/gurindam selain ribuan pantun. Karya puisi saya ada dalam antologi puisi Daksina, Manggar-Manggar Merdeka dan Tinta Kencana. Insya Allah ada lagi yang akan diterbitkan. Saya juga telah menghasilkan lebih 300 bahan berita dalam laman blog sekolah saya.

  Hadiah? Selain menerima Hadiah Puisi Johor, saya pernah mendapat johan Pertandingan Menulis Esei Kemerdekaan peringkat  negeri Johor tahun  2006. Juga johan Skrip Drama peringkat negeri Pahang tahun 1992 dan johan Mengarang Pantun Radio Klasik Nasional.  Apabila menang pertandingan Mengarang Pantun Radio Klasik Nasional, hadiahnya ialah seutas jam tangan Carlo Cardini bernilai RM1,000.. Masih saya gunakan sampai sekarang!

 Apa yang saya bicarakan di atas, bukan untuk memperaga diri sendiri, tetapi sekadar bercerita tentang perkembangan pengkaryaan saya. Insya Allah saya akan terus berkarya!

Sunday 15 July 2012

TERINGAT TANAH SUCI

Di dataran hadapan Kaabah

Meski sudah hampir sepuluh bulan meninggalkan Tanah Suci Makkah dan Madinah, kenangan dan ingatan tempat berkenaan masih  bersarang di minda.

    45 hari di sana bukan masa yang singkat. Ke Madinah, Makkah, Ja`ranah, Jabal Rahmah, Gua Hira`, Mina, Muzdalifah dan Jeddah -semuanya segar dalam ingatan.
Di pekarangan Masjid Nabawi Makkah


    Pemergian ke sana kerana menunaikan Fardu Haji merupakan pengalaman paling indah dalam hidup saya, sesuatu yang diidamkan sejak mula bekerja. Akhirnya Allah memakbulkan saya dan isteri untuk berada di sana.

Bersama isteri dan rakan di Laut Merah, Jeddah
   Teringat beramal ibadah di Masjid Nabawi, Madinah -sambil pandangan tertancap ke makam Rasulullah. Juga semasa beriktikaf di Masjidil Haram, Makkah. Juga  semasa melontar Jamrah, berjalan dari Safa ke Marwah. Juga berzikir dan bermunajat di Padang Arafah. Syahdu. Segalanya tergambar di minda.

   Aku berdoa agar dapat kembali ke sana. Sama ada menunaikan Haji atau Umrah lagi. Ya Allah, perkenankan doaku...

Saturday 14 July 2012

GUNUNG LEDANG - TAK JEMU MENDAKINYA!

 
Gunung Ledang, gunung tertinggi di selatan Semenanjung Malaysia mempunyai ketnggian 1,100 meter. Walaupun jauh lebih rendah berbandiang Gunung Kinabalu atau Gunung Tahan, gunung Ledang punya tarikan tersendiri.

   Setakat ini, saya telah mendaki sebanyak 4 kali. Kali pertama, tahun 2007 bersama 10 guru dan 80 pelajar semasa perkhemahan bersepadu sekolah saya.. Ketika itu saya sampai ke Batu Hampar. Kali kedua dan ketiga pada tahun lalu. Dan terkini  2 bulan lalu, sampai ke Kolam Gajah.

   Mengapa saya suka ke sana? Kerana pendakiannya itu agak mencabar. melalui celah pokok dan akar, laluan yang agak curam dan dapat menyaksikan rimba belantara di negara kita. Pada peringkat awal, perlu mendaki 800 anak tangga.  Kemudian melalui denai dan kawasan berhutan.

  Pendakian memang meletihkan dan menguji stamina. Tetapi setakat ini saya masih mampu mendaki, walaupun sampai ke Kolam Gajah. Oklah tu!

  Apabila pergi mendaki beramai-ramai (kali terakhir bersama 12 guru dan 75 pengawas sekolah), memang thrill dan menarik. Ada guru dan pelajar yang asyik berhenti dan tidak cukup kekuatan untuk mendaki.. Aku berhenti juga bagi menarik nafas, tetapi dapat meneruskan pendakian hingga selesai.. Alhamdulillah!

  Kepada rakan-rakan di luar sana, dakilah Gunung Ledang.. Pasti menyeronokkan!


Monday 9 July 2012

GURINDAM TENGAH MALAM


Malam-malam gelap gelita
belum lagi menutup mata

Pandang kiri pandang kanan
kerja belum saya siapkan

Esok sekolah mengajar pelajar
agar mereka tidak tersasar

kemas beg kemas buku
agar esok tidak bercelaru

rasa hendak minum kopi
dapat idea serta inspirasi

fail buku di atas meja
rumah jadi pejabat kedua

nak tidur masih berkira
pastikan semua dah bersedia

kerja  lama belum siap
kerja baru kena tatap

Syukur saya kepada Allah
badan sihat tiada resah

Anak isteri dalam ingatan
bertaut kasih moga berpanjangan

Sekian dahulu daripada saya
panjang umur bersua kita

-MHS

Sunday 8 July 2012

SEMOGA BERBAHAGIA, NUR IZZATI ZULKIFLI

  
Hari ini saya dan keluarga berada di Serdang, Selangor, kerana majlis kahwin anak saudara, Nur Izzati Zulkifli. Kami sampai di rumah pengantin pada pukul 11 pagi. Di sana bertemu adik-beradik dan saudara mara.
     Saya masih ingat Nur Izzati ketika masih kecil, sekitar tahun  1990. Dengan rambut ikal, muka bujur sirih dan mata yang  redup, dia yang ketika itu berusia 2 tahun kelihatan comel sekali.

     Kini dia sedang menuntut pada tahun akhir di bidang perubatan, Universiti Kaherah. Suaminya juga sedang menuntut, tahun akhir di Uniten. Yang menariknya, suaminya hafiz Quran. Subhanallah.
     Saya sempat berselawat mengiringi pengantin lelaki ke bilik jamuan. Sebelum pulang, kami bergambar kenangan. Semoga Izzati dan suami bahagia di alam rumahtangga!
    6.45 petang, saya selamat sampai di rumah di Batu Pahat. Penat tetapi gembira dapat hadir di majlis kahwin anak saudara. Katering Seri Angsana dari Ampang menyediakan juadah nasi minyak yang enak!
   

Saturday 7 July 2012

RENUNGAN DINIHARI


Mungkin sukar dimengerti
badai semalam kian reda
kembali ke dalam dirii
pulang  melerai kekusutan
pohon maghfirah di bumi merekah
menguak rimbunan gundah
menyita bayangan resah
mendampingi nur Tuhan
meski noda bergentayangan.

Mungkin acapkali dihadapkan
enigma bertautan
elegi bersahutan
dilema berpanjangan
tetapi kemanisan sebuah pasrah
adalah apabila membina swadaya
memugar getir seribu liku
melapah bebayang kalut
hingga terasa diri semakin dekat
dengan rahmat Tuhan.


Perjalanan perlu diteruskan
mendamba barakah dalam kehidupan.

-MHS

HARI YANG SIBUK

   
Seawal pukul 5.30 pagi, saya sudah bangun. Selepas mandi dan bersolat Subuh, saya bersiap sedia untuk ke Parit Sulong, untuk menyertai program kayuhan basikal bersama-sama rakan guru.


    Tiba-tiba hujan turun dengan lebat kira-kira pukul 6.30 pagi. Rasanya macam nak batal aja kayuhan ini. Saya berbincang dengan  Haji Ramlan, dan memutuskan untuk menunggu hujan reda.

    Syukur hujan reda. Maka saya, Haji Ramlan, Encik Razib dan Encik  Mashudi berkayuh sehingga ke Tongkang Pechah. Perjalanan sejauh 14 kilometer. Kemudian kami berpatah balik dan bersarapan pagi di rumah Amirul Syafiq. Enaknya makan nasi lemak, pisang goreng, kuih muih dan buah rambutan!

   Setelah berbual mesra dengan Encik Hozami dan rakan-rakan, kami  kembali ke rumah masing-masing. Saya pula pergi pameran Pelancongan (Matta Fair) di BP Mall.  Ada banyak promosi pelancongan ke dalam dan luar negara. Kemudian  saya menghadiri satu majlis kahwin di Parit Imam. Kenyang!

  Pada pukul 3 petang, saya dan isteri bertolak ke Nilai. Ada majlis kahwin anak saudara di Seri Kembangan pada hari esok. Jadi saya, iateri dan dua anak bermalam di Hotel Aeton di Bandar Baru Nilai.

   Hari yang  memenatkan , tetapi saya gembira kerana semuanya berjalan lancar!

Friday 6 July 2012

WADAH AKSARA DAN BLOG SMKPS


 Wadah Aksara dan Blog SMKPS. 2 perkara yang semakin mendapat perhatian dan dianggap antara kekuatan SMKPS sekarang.

  Bermula dengan tugasan menghasilkan buletin semasa kejohanan Balapan dan Padang MSSD Batu Pahat, dengan menggunakan judul Citra Juara, Pengetua SMKPS yang berpuas hati, telah meminta buletin itu  terus dihasilkan di peringkat sekolah. Maka dengan AJK yang sama diterajui oleh Haji Ramlan Pit, Puan Umi Kalsum Idham, Amirul Syafiq dan Azilah Muharam, buletin terus dihasilkan dan kini sudah mencapai 13 minggu!

  Ketara sekali bahawa sidang redaksi begitu komited dan amat berminat menghasilkan buletin sekolah. Masing-masing mengambil peranan dan setiap Jumaat, buletin telah tersedia untuk dicetak dan pada hari Isnin, naskhah telah berada dalam tangan guru dan pelajar!

  Maka setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan editor dan redaksi Wadah Aksara yang berjaya meneruskan usaha menghasilkan buletin. Jika semasa MSSD, sekolah kita mendapat pujian semua pihak, termasuk tuan PPD dan sekolah-sekolah lain, kini Wadah Aksara mendapat pujian Ketua Sektor Jaminan Kualiti JPNJ, Encik Md Buang Saiban yang berkunjung ke sekolah minggu ini.

  Tentang blog SMKPS, akan saya bicarakan dalam post2 yang akan datang.. Semoga Wadah Aksara mampu terus bertahan dan meniti kegemilangan - memberi manfaat kepada seluruh warga sekolah!

LGBT

 
PELAJAR SEKOLAH HARAPAN MASYARAKAT
 LGBT. Mengapa saya mahu sentuh LGBT di sini. Bukankah tajuk itu boleh menimbulkan rasa kurang senang atau tidak selesa. Tetapi saya tetap mahu sentuh juga, kerana saya ambil berat.
     Lesbian. Gay. Biseksual dan Transgender. Ancama baru masyarakat Malaysia. Walaupun isu  gat, lesbian dan homoseks telah wujud ribuan tahun, tetapi masih melingkari kehidupan manusia. Kaji kisah dalam Quran akan nasib yang menimpa kaum Ad dan Thamud. Tentang Sodom, Tentang bagaimana kemurkaan Allah kepada umat Nabi Lut. Tentang muka bumi yang terbalikkan, dan adanya Laut Mati di Jordan.    
    Kesemua itu menggambarkan Allah melaknat golongan gay dan homoseks. Dosa yang amat berat dijanjikan Allah. Dan di negara kita ada yang mahu cuba menghalalkannya atas nama kebebasan individu dan hak asasi manusia... Nauzubillah..
   Kepada mereka yang dil luar sana yang sudah terjebak dengan gejala LGBT, fikir-fikirkan.. Sesungguhnya azab Allah amat pedih. Bagaimana nasib anda di Padang Mahsyar. Bagaimana dengan siksa kubur pula. Ke mana anda, ke syurga atau neraka.. Cuba tonton siri Tanah Kubur TV Astro dan ada kisah tentang golongan berkenaan.  Menginsafkan.

    Kaji. Renung.  Teliti. Pilih jalan yang diredai-Nya.

Thursday 5 July 2012

KINI TINGGAL BERDUA...

FOTO KELUARGA SEMASA BERCUTI  DI DANAU TOBA, MEDAN FEBRUARI LALU
 
Saya dan isteri kini tinggal berdua di rumah. Anak sulung belajar di Universiti Sains Islam , Nilai. Anak kedua belajar di New Zealand, anak ketiga di Program Foundation Universiti Islam Antarabangsa, anak keempat di MRSM Jasin dan anak bongsu di SM Sains Johor.

    Apabila tinggal berdua, memang kesunyian dirasakan. Jika dahulu sibuk nak hantar anak ke sekolah, ke kelas tuisyen atau membeli itu ini untuk mereka, kini saya dan isteri secara teorinya punya masa yang banyak. Nak ke masjid, menonton TV, buat kerja sekolah, beriadah, makan di luar atau hendak menjenguk bonda di Bagan senang dilakukan.

    Teringat zaman punya anak kecil - melayan seribu kerenah mereka. Kelima-lima anak saya lahir agak rapat, jadi kekadang memang tidak menang tangan. Ketika anak sulung saya berumur 10 tahun, dia mempunyai empat adik! Walaupun penat pada masa itu, segala-galanya dapat dilakukan dengan baik!

    Anak-anak saya dapat bersama ketika Hari Raya nanti.. Itupun, anak kedua saya masih berada di New Zealand.. Tak pa lah, dia akan balik Disember nanti!


JOM BERBASIKAL!

    
Berbasikal menjadi kegemaran saya sekarang. Sejak membeli basikal  mountain bike April lalu, (walaupun tidaklah dengan harga ribu-ribu) , saya kini dapat berbasikal di sekitar Jalan Kluang, kekadang dapatlah tiga kali seminggu berkayuh - dalam jarak 7-10 kilometer.

    Rakan-rakan guru turut ada minat yang sama. Mei lalu, 25 guru dan kakitangan telah berekspedisi ke Sungai Gersik (perjalanan keseluruhan 50 kilometer). Kemudian dalam kelompok kecil kami juga pergi ke Semerah, Seri Medan dan terkini ke Tongkang Pechah.

    Mengayuh basikal memang santai dan happening. Melihat keindahan alam, menghirup udara segar dan berinteraksi secara sihat dengan rakan-rakan sambil melupakan seketika hiruk-pikuk dunia pendidikan. Hmmmm.. Memang best!

    Insya Allah, basikal jenama Oscar yang kubeli daripada rakan Facebook, Nauza Azuan di Segamat akan menjadi temanku mengisi lembaran petang!