Tuesday 17 July 2012

TULISAN SAYA KELUAR LAGI...


Tulisan saya keluar lagi.. Kali ini surat aduan yang saya hantar ke akhbar Utusan Malaysia disiarkan. Aduan saya tentang Jalan Bindu yang sempit, berlubang dan tiada berlampu isyarat lengkap dengan gambar menjadi berita utama dalam ruangan Suara Johor.

   Menyentuh hasil tulisan saya, telah banyak disiarkan. Sama ada dalam bentuk sajak, pantun, surat pembaca,berita sekolah dan sebagainya. Sebahagiannya dapat dikumpul, sebahagian lagi tidak sempat dikumpulkan.

  Saya mula menghantar tulisan ke media massa sejak tahun 1986. Pada masa itu, saya menghantar artikel tentang langkah-langkah memperkasa sukan bola sepak di negara kita dan kemudian tersiar dalam akhbar Berita Harian. Panjang artikel itu kira-kira 1,500 perkataan. Ketika tersiar, saya rasa amat gembira!

 Selepas itu saya  mula menghantar pelbagai karya ke akhbar  Utusan Malaysia, Watan, Mingguan Kota, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Jendela Selatan, majalah sekolah dan lain-lain.

  Walaupun bayaran ada diterima, tetapi tidaklah seberapa. Puisi yang tersiar dalam Pelita Bahasa dibayar RM100 manakala sajak di akhbar tempatan dibayar RM50. Walaupun agak kecil, namun saya tetap gagahi diri saya untuk berkarya!

  Kini, lebih 30 sajak saya tersiar di media. Saya pula telah menghasilkan lebih 200 sajak/syair/gurindam selain ribuan pantun. Karya puisi saya ada dalam antologi puisi Daksina, Manggar-Manggar Merdeka dan Tinta Kencana. Insya Allah ada lagi yang akan diterbitkan. Saya juga telah menghasilkan lebih 300 bahan berita dalam laman blog sekolah saya.

  Hadiah? Selain menerima Hadiah Puisi Johor, saya pernah mendapat johan Pertandingan Menulis Esei Kemerdekaan peringkat  negeri Johor tahun  2006. Juga johan Skrip Drama peringkat negeri Pahang tahun 1992 dan johan Mengarang Pantun Radio Klasik Nasional.  Apabila menang pertandingan Mengarang Pantun Radio Klasik Nasional, hadiahnya ialah seutas jam tangan Carlo Cardini bernilai RM1,000.. Masih saya gunakan sampai sekarang!

 Apa yang saya bicarakan di atas, bukan untuk memperaga diri sendiri, tetapi sekadar bercerita tentang perkembangan pengkaryaan saya. Insya Allah saya akan terus berkarya!

No comments:

Post a Comment