Tuesday 30 July 2013

PULAU TIOMAN MENGGAMIT MEMORI

Saya, isteri, Hadi dan Aiman di atas bot

Di pantai Genting, Tioman


Sungguhpun telah hampir dua bulan berlalu, lawatan saya ke Pulau Tioman telah membawa kenangan manis buat saya, isteri dan guru-guru sekolah saya.


Pulau Tioman terletak di negeri Pahang Darul Makmur. Pulau yang diiktiraf antara 10 pulau tercantik di dunia menggamit guru dan staf sokongan SMK Penghulu Saat untuk bercuti di sana. Atas tema ‘Jom Jalan-jalan’, Kelab Bilik Guru SMKPS yang diterajui Puan Zaimah Sahar telah menggerakkan usaha ke sana. Hasilnya pada 3 hingga 5 Jun lalu , rombongan guru dan staf meninggalkan Parit Sulong untuk ke sana.



Ahli rombongan SMKPS


Perjalanan selama tiga jam melalui bandar Kluang dan Mersing memang meletihkan, tetapi kerana tekad mereka untuk bercuti bersama-sama , telah memungkinkan semuanya. Mereka menaiki feri dari jeti Mersing dan mengharungi perjalanan selama 1 jam 20 minit sebelum sampai ke Resort Idaman di Kg Genting, Tioman.

Sesampainya di sana , mereka terpesona melihat kejernihan air laut dan kepelbagaian jenis ikan beraneka warna yang ada di sekitar jeti. Walaupun kepenatan pada malamnya, mereka tetap turun ke jeti untuk melihat pekan Genting dan pemancing menjalankan aktiviti memancing.


                       
     AHLI ROMBONGAN MANDI DAN BERSNORKEL DI TAMAN LAUT


Pada pagi hari kedua, rombongan dibawa dengan tiga buah bot menuju Pekan Tekek. Di sana mereka bersiar-siar di sekitar pekan, di mana terdapat pasar raya kecil menjual aneka barangan bebas cukai. Tidak ketinggalan, mereka menikmati Roti Shady Bakery yang enak sekali.

Kemudian mereka meneruskan perjalanan ke Taman Laut Tioman untuk bermandi manda. Banyak sekali insan yang ada di kawasan pantai itu bermandi manda dan menikmati kejernihan air laut dan ikan pelbagai warna.


Perjalanan seterusnya ialah pergi ke kawasan karangan laut (coral) di kawasan berhampiran. Di sini ahli rombongan terjun ke laut dengan menggunakan jaket keselamatan dan goggle. Mereka begitu asyik melihat kecantikan coral di situ, yang sebelum itu hanya dilihat dalam rakaman gambar, majalah atau di kaca televisyen.


                       


PEMANDANGAN MATAHARI TERBENAM DI GENTING


Pada lewat petang, ahli rombongan berpeluang melihat matahari terbenam (sunset) yang cukup indah dan romantik. Subhanallah… Manakala pada sebelah malam, mereka menikmati makan malam dan BBQ yang sungguh enak dan menyelerakan.

Pada hari ketiga, ahli rombongan terus bermandi manda di sekitar kawasan Genting. Di celah-celah batu, terdapat banyak anak ikan pelbagai warna yang memukau pandangan. Ahli rombongan sempat bergambar kenangan sebelum berangkat pulang pada pukul 2 petang 5 haribulan Jun 2013.

Rata-rata ahli rombongan berpuas hati dengan program percutian kali ini, yang dapat mengeratkan hubungan guru dan staf sokongan di samping menikmati pelbagai tarikan tersedia di sana. Air laut yang kebiru-biruan, melihat coral, bersnorkel melihat hidupan laut dan menikmati percutian keluarga bersama rakan-rakan adalah kenangan manis bagi mereka.

Sebagai catatan, guru dan staf yang turut serta bersama keluarga masing-masing ialah Encik Razak Othman, Tuan Haji Zainal Musni, Haji Mustaffa Siraj, Encik Jais Bakar, Encik Mashudi Said, Encik Amirul Syafiq, Puan Zaimah Sahar,Puan Nor Haliza Saat, Puan Nur Hidayah dan Pun Umi Umaroh.

Monday 29 July 2013

RAMADAN 2013

Berlakon semasa Hari Guru sebagai Sultan Melaka.


Sudah lama tidak menulis dalam Blog saya.. Kekangan masa menyulitkan langkah saya di sini. Sejak Februari, rentetan tugas dan tanggungjawab terpikul di bahu.  Antaranya perkhemahan bersepadu unit beruniform, hari keusahawanan dan hari sukan sekolah. Alhamdulillah, semuanya beres!

 Kini Ramadan menuju penghujungnya. Tadarus dan Terawih masih berterusan.  Bazar Ramadan menjadi tempat mencari sesuatu yang baru dan adakalanya berjumpa rakan lama dan bekas pelajar. Di celah hingar-bingar peniaga dan pelanggan, kami sempat bertukar-tukar berita dan cerita.. Seronok!

  Moga Ramadan ini mengundang sejuta rahmat dan semoga Allah menemukan saya dengan Ramadan 2014!