Saturday 29 September 2012

PROGRAM BERBASIKAL

BERSEDIA UNTUK BERKAYUH

Semalam, 28 September, saya menyertai 25 rakan yang lain dalam program berbasikal Penolong Kanan Kokurikulum. Peserta dilepaskan Ketua Unit Kokurikulum JPNJ, Tuan Haji Kamarudin Sharif.

    Kayuhan bermula pukul 3.30 petang. Ketika satu kilometer di perjalanan,saya baru menyedari yang saya belum lagi makan tengah hari! Disebabkan hari Jumaat, maka waktu tengah hari ke masjid. Balik dari masjid, mula mengemas barang-barang, kerana akan bermalam di Minyak Beku.

   Ketika 3 kilometer,saya mula menyedari bahawa perut saya lapar dan kosong! Tetapi saya gagahi juga kayuhan dan tidak mahu terpisah daripada rakan-rakan. Perjalanan turut menempuh kawasan berbukit terutama di sekitar SMK Banang Jaya dan simpang ke Sungai Lurus.

  Berbekal semangat dan kesungguhan, akirnya saya berjaya menamatkan kayuhan sejauh hampir 13 kilometer itu. Memang meletihkan mental dan fizikal! Jumlah masa kayuhan kira-kira 1 jam setengah.

  Setelah penat berkayuh pada waktu siang, kami gembira berBBQ pada malamnya. Sate, kambing panggang, ayam panggang, buah jambu dan air oren kami sumbat ke perut kami!  Balik ke chalet, saya sudah benar-benar keletihan dan tidur dengan lena!

  Pagi esoknya, saya bangun awal.. Penat dah hilang. Mengenang kembali, lucu pun ada rasanya! Selepas bersarapan, kami bermesyuarat berkaitan Majlis Anugerah  Kokurikulum peringkat negeri Johor yang akan diadakan pada 2 Oktober nanti.

 Mesyuarat berakhir jam 12 tengah hari. Saya segera berkemas balik ke rumah. Sampai di rumah, terus solat Zohor dan kemudian bergegas ke Dataran Penggaram kerana menjadi hakim pertandingan Deklamasi Sajak peringkat negeri Johor..

 Dua hari yang memenatkan tetapi membawa kenangan tersendiri!

 

Tuesday 25 September 2012

KELEGAAN BERTANDANG!

PERSEMBAHAN KAWAD KADET POLIS
BARISAN TETAMU MAJLIS
PERSEMBAHAN BERBALAS PANTUN

Alhamdulillah.. itu yang dapat kulafaz, setelah sempurna sudah Majlis Anugerah Kokurikulum semalam. Setelah lebih sebulan membuat persiapan dan siang malam menggerakkan kerja bersama AJK Unit Kokurikulum dan AJK lainnya, maka majlis semalam akhirnya berjaya  dilaksanakan.

  Kehadiran perasmi, Encik Mohd Arif Kamisan, peguam tempatan disambut dengan paluan kompang. Dalam ucapannya, beliau terkejut kerana tidak sangka majlis yang dihadirinya  lebih besar daripada jangkaannya.


  Acara persembahan menyusul. Persembahan silat, berbalas pantun, tarian zapin, persembahan cooking with nature dan diakhiri kawad kaki Kadet Polis. Hujan lebat ketika kawad menyebabkan lokasi majlis dipindah ke dewan sekolah.

  Majlis di dewan disambung dengan penyampaian pelbagai anugerah - dan majlis selesai pukul 9.30 pagi. Keseluruhannya, RM3,000 dibelanjakan. Yang penting, pelajar yang mengharumkan nama sekolah dapat dihargai!

  Di sini  ingin aku  menghargai peranan dan sumbangan AJK Unit Kokurikulum, yang bertungkus lumus menjayakan persiapan, juga AJK lainnya. Tanpa mereka, majlis tidak akan sempurna!

 

 
 

Saturday 22 September 2012

SIRI 7: AYAH PERGI BUAT SELAMA-LAMANYA

BERSAMA AYAH, IBU DAN NINI DI MAJLIS KONVO UM 1985


Cuti akhir tahun 1993, aku dan keluarga hendak balik kampung. Ketika itu isteriku baru melahirkan anak ketiga, Hadi Rusyaidi. Tidak sabar rasanya hendak menunjukkan cucu terbaru Ayah dan Ibuku. Sebelum itu aku sudah menelefon mereka tentang berita aku hendak balik.

   Mendengar kami hendak balik, Ayahku segera pergi ke kebun durian yang terletak di Parit Bengkok , Bagan. Ketika berhenti hendak membelok ke Parit Bengkok. Ayahku dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang perempuan. Ayah cedera dan dibawa ke hospital Batu Pahat.

   Aku tiba di Bagan dengan khabar yang mengejutkan bahawa Ayah mengalami kemalangan dan kini dirawat di hospital Batu Pahat. Aku menjadi kaget. Beberapa hari kemudian, Ayah dibawa ke Hospital Tun Aminah, Johor Bahru.

    Aku berasa sedih. Bukan menyesali takdir, tetapi disebabkan kerana hendak menjamu aku dan keluarga buah durian, Ayah kemalangan. Sebelum itu, Ayah memang akan mencari sesuatu untuk anak cucu yang akan balik kampung, dan bukan aku sahaja.

    Kalau abang dan kakakku hendak  balik kampung, Ayah dan Ibu menjadi sibuk dan wajah mereka bertukar ceria. Aku cukup memahami dan selalu menyaksikannya, sebab sebelum aku duduk di rumah pada tempoh tahun 1978-1982 dan juga semasa cuti pengajianku. 

    Biasanya Ayah dan Ibu akan berbincang apa menu yang hendak dimasak, buah apa hendak disediakan dan Ayah akan ke pasar pada awal pagi. Apabila balik, Ayah bawa ikan tenggiri atau ayam, labu, kacang panjang dan sebagainya. Semuanya disediakan untuk anak dan cucu yang pulang. Ibu pula bertungkus-lumus menyediakan pelbagai juadah menerima kehadiran anak dan cucunya.

    Apabila bunyi kereta kedengaran di halaman rumah, Ayah dan Ibu meninjau-ninjau sama ada  Abang Ros, Abang Yusuf atau Kak Rosnah yang pulang. Mereka gelisah menanti. Dan apabila telah sampai, ketibaan abang dan kakakku disambut gembira.
Maka situasi di rumah menjadi meriah dan ceria.

   Berbalik kepada cerita Ayahku, dia dibawa ke Johor Bahru untuk dibedah. Oleh sebab Ayah ada penyakit kencing manis, maka ada kemungkinan kaki Ayah terpaksa dipotong.
Pembedahan tidak dapat dilakukan segera kerana  menunggu giliran. Ketika waktu melawat, aku dan adik beradik melawat Ayah. Ayah sibuk bertanyakan perkembangan kami dan cucu-cucunya. Malah Ayah ada menyebut kepadaku “Wah, anak kau tentu suka makan ini dan itu… (merujuk Wahida dan Syuhada yang ketika itu berusia 2 hingga 3 tahun.

   Oleh sebab cuti sekolah hampr tamat, aku terpaksa balik semula ke Pahang. Abang-abangku meminta aku balik dan mereka akan menguruskan hal ehwal Ayah. Aku pulang dengan hati yang berat.  Aku rasa serba salah. Tetapi aku berdoa pembedahan Ayah akan berjaya dan dia dapat kembali  sihat seperti biasa.

   Aku sudah berada di Pahanng semula dan esoknya adalah mesyuarat guru kali pertama pada sesi 1993. Malam itu aku sukar melelapkan mata. Entah mengapa aku menjadi resah gelisah dan duduk-duduk di ruang tamu.  Pada awal pagi itu (sekitar  2 pagi), aku menerima satu panggilan telefon. Aku semakin berdebar-debar, siapa pula yang menelefon pagi-pagi buta itu.

    Aku segera mengangkat gagang telefon. Kedengaran suara garau di balik sana, ayat yang seperti meluruhkan jantungku:
  
     “Pa, Ayah dah tak ada…….”, kata Abang Ros dan meletakkan gagang. Suaranya bergetar dan lemah sekali.

    Tiba-tiba aku menjadi sebak. Kelu bungkam tidak terlukis. Ayah pergi jua. Kemalangan itu akhirnya merenggut nyawanya. Inna Lillahi Wainna Ilaihi Rajiun.
Aku dilanda kesedihan. Segalanya tergambar. Kenangan semasa kecil, remaja dan dewasa bersama Ayah. Semuanya terang dan jelas dalam gambaran mindaku.

  Selepas subuh, aku menelefon pengetuaku dan mohon cuti untuk balik kampung. Dia memahami dan memberi cuti empat hari.. Maka aku dan isteri mula berkemas-kemas untuk balik. Aku harap sempat berada di pengkebumian Ayah. Ketika memandu, bermacam-macam menjengah mindaku. Pastinya tentang Ayah. Ya Allah, Kau telah menjemput Ayahku. Moga Ayah tenang dalam persemadian.

   Setibanya di kampung, kira=kira pukul 2 petang. Ayah telah selamat dikebumikan. Rumah dipenuhi kaum keluarga dan sahabat handai. Suasana muram jelas sekali. Ayah mempunyai ramai saudara mara dan kenalan. Mereka tidak putus-putus datang. Pada malam itu ada doa selamat.

  Petang itu aku menziarahi pusara Ayah. Sebak kurasakan. Tanahnya masih baru diratakan. Aku berdoa di pusara Ayah. Ya Allah, moga Allah  mencucuri rahmat ke atas rohmu, Ayah, yang pergi buat selama-lamanya ketika berusia 72 tahun.

   Kini, sudah 19 tahun Ayah pergi. Begitu cepat masa berlalu.  Doaku selalu kuutus untuk Ayah, tetapi kekadang, kerana kesibukanku, aku terlupa untuk itu.  Semoga Allah memberkati Ayah… Amin Ya Rabbal Alamin..

Kepada mereka yang masih mempunyai ayah dan ibu, anda  belum lagi merasa kehidupan tanpa mereka. Mungkin ayah dan ibu itu tidak punya erti yang cukup besar. Seperti kata pujangga, sesuatu itu lebih kita harga setelah ia tidak lagi dimiliki. Saat itu akan tiba jua. Kerana setiap yang bernyawa pasti merasa mati...

Alfatihah untuk Haji Siraj Sarpan.


Thursday 20 September 2012

KENANGAN BERSAMA AYAH (6)

FOTO HARI RAYA BERSAMA AYAH DAN KELUARGA TAHUN 1987


Saya teruskan kisahku bersama Ayah – siri ke 6. Tetapi bukan sahaja bersama Ayah, juga dengan adik-beradik yang lain.

Semasa kecil, Ibu menceritakan bahawa aku pernah termasuk ke dalam kolam sebanyak dua kali. Mungkin kerana aku merayau-rayau dan kolam itu di sebelah rumah.. Mujur Ayah dapat menyelamatkan aku. Tak tau pulak sama ada aku dah tenggelam atau tidak, atau sekadar di di gigi kolam!

Semasa kecil, Ayah suka membawa aku, dan juga adik-adik yang lain naik motor ke sesuatu tempat.. Yang biasa aku ingat, ialah dibawa ke rumah Encik Urif, bapa saudaraku, untuk bergunting rambut. Dah gunting, bedak disapu ke wajahku. Sebelum balik, Encik Urif akan bagi duit kat aku. Suka, walaupun 20 sen! Ketika itu aku pada usia 6 tahun atau Darjah 1..

 Semasa aku kecil aku kuat hisap poteng. Pagi petang nyet nyot! Kalau hilang poteng, maka Ayahku terpaksa pergi ke kedai beli yang baru. Aku masih ingat, mungkin usiaku 5 atau 6 tahun – potengku hilang! Ibu Ayah dan mak saudaraku, Cik Pah yang balik kampung ketika itu, sibuk mencari keliling rumah dan halaman rumah.. Tak jumpa! Menangis la aku…

   Ayah seorang yang tidak cerewet tentang makanan. Apa sahaja yang Ibuku masak dan sediakan, dia akan makan. Dan sudah menjadi kebiasaan Ibuku, masak nasi pada awal pagi, kerana Ayah boleh sahaja makan nasi panas dengan telur goreng, sambal tumis atau dengan ikan kering. Apabila ke kebun pula, kopi atau teh panas Ibu bekalkan dan dimasukkan dalam termos. Kekadang Ibu minta aku hantar ubi rebus dan air teh  ke kebun, dan Ayah dengan berselera akan makan ubi rebus lawan sambal tumis atau ikan kering. Kami bersila akan makan bersama.

   Sekitar usiaku 11 tahun, aku sudah mula bermain agak jauh di rumah rakan. Main kejar-kejar, sembunyi-sembunyi dan macam lagi. Satu hari, mereka mengajakku mandi sungai. Kami menunggang basikal beramai-ramai ke simpang  Parit Hj Salam. Ada yang menyelam, ada yang sekadar berendam dan ada yang duduk di tepi. Aku berendam. Tiba-tiba kedengaran suara lantang seorang pemuda ,” Haaa… mandi sungai ya!!! Aku adu kat  Ibu Ayah kamu semua!’

  Kami semua sangat terkejut dan sangat takut. Aku pulang dalam ketakutan.  Pemuda itu benar-benar mengadu kepada  Ayah. Apabila balik, Ayah benar-benar marah. Dia marah dan menganggap tindakanku mandi  di sungai itu amat berbahaya kerana dibimbangkan lemas. Aku  tunduk dan  mendiamkan diri. Aku tidak ingat sama ada aku menangis atau tidak, tapi yang pasti, aku sungguh menyesal kerana menimbulkan kemarahan Ayah.

Berhenti dahulu untuk siri ke 6. Alfatihan untuk Haji Siraj Sarpan

Tuesday 11 September 2012

KENANGAN BERSAMA AYAH (5)

FOTO BERSAMA AYAH, IBU, ADIK BERADIK DAN KHALID YUSUF (1986)

 Saya teruskan pembicaraan tentang Ayah untuk siri ke 5 untuk tatapan semua. Masih ada lagi coretan untuk dibicarakan.

     Ayah memang insan yang mempunyai banyak kebolehan. Selain hebat bersukan, Ayah bijak menulis khat jawi dan banyak lagi. Tetapi satu hal yang tidak berapa diketahui, Ayah pandai bermain alat muzik. Dalam hal ini, Ayah pandai bermain gambus. Hal ini terbukti ketika Ayah menunjukkan bakatnya bermain gitar kepada kami. Aku seronok mendengarnya. Begitu tenang dan mahir sekali dia bermain alat muzik itu.

     Salah satu kesukaan Ayah ialah bercerita tentang kisahnya semasa muda. Bagaimana dia dia dan adik beradiknya membahagikan tugas membantu keluarganya. Ada yang menorah getah, ada yang menanam tebu, ada yang menanam sayur dan pelbagai lagi. Dalam hal itu, Ayahlah yang mengatur pelbagai urusan keluarga – dan tugasnya dilaksanakan dengan jayanya.

     Ayah juga bercerita apa yang dipelajari semasa muda remaja. Beliau belajar mengaji berlagu daripada seorang guru agama. Bersama-samanya ialah Allahyarham Jamil Sulong, pelakon dan pengarah terkenal. Aku masih ingat Ayah mengaji pada waktu malam, khasnya pada malam Jumaat. Suaranya sedap, bacaannya jelas dan lancar. Dan tidak lama selepas Ayah meninggal dunia, aku mengaji berhampiran Ibu. Sebaik habis aku mengaji, Ibu berkata, suaraku mirip Ayah. Terkedu aku.

    Nama asal Ayah ialah Aton. Nama `Siraj’ hanya digunakan apabila Ayah mula bertugas sebagai guru. Menurut Ayah, dia berjumpa seseorang, dan orang itu mencadangkan penggunaan nama Siraj. Tetapi nama Aton tetap mempunyai nilainya yang tersendiri, dan di kampungku, ramai yang memanggil Ayahku sebagai Cikgu Aton.

    Satu perkara yang menarik, Ayah disukai oleh ramai orang, khasnya orang muda. Sifat Ayah yang suka menolong orang dan melayan mereka dengan baik menyebabkan Ayah mudah didekati. Ayah mempunyai beberapa remaja/pemuda yang dipanggil anak angkat Ayah. Yang sangat kuingat ialah yang bernama Rahman, atau dikenal Man Topeng. Seorang lagi ialah Kamarudin, yang kemudian menjadi pemandu kepada ahli perniagaan. Aku biasa dengan mereka dan pada zaman kanak-kanak, mereka membawa aku berjalan-jalan. Kerana mereka biasa pinjam kereta Ayah, maka aku pun dapat ikut mereka.

    Ketika aku berada di Tingkatan 3, Ayah dan Ibu pergi menunaikan Fardu Haji. Tahun 1976. Kami adik beradik dikira masih remaja dan kecil. Berpisah dengan mereka selama 30 hari adalah detik yang mencabar jugak. Teringat semasa Ayah dan Ibu mahu berangkat dan azan dilaungkan. Terasa sangat sedih dan syahdu ketika itu. Kemudian sebuah bas disewa untuk menghantar Ayah dan Ibu di lapangan terbang Subang. Suasana memang sedih.

    Semasa ketiadaan Ibu dan Ayah, tugas keluarga dipikul oleh kakakku, Rusnah. Pada masa itu, abang sulong sedang belajar di UM manakala abang kedua bekerja di Johor Bahru. Maka kakak dan abang ketigalah yang menjaga kami lima adik di bawah mereka. Kebijaksanaan mereka menyebabkan urusan makan minum dan keperluan rumah dapat dibereskan. Aku masih ingat, kami menjual ubi kayu. Penat juga mencabut ubi kayu tu.

    Semasa aku di Tingkatan 6 Atas, aku tinggal di bandar menyewa dengan rakan-rakan. Ayah selalu datang menjengukku. Ada sahaja yang dibawa, berupa kuih muih, buah-buahan dan masakan ibuku. Ayah memang prihatin.. Kekadang sampai dua tiga kali seminggu dia datang. Biasanya dia pergi ke pasar, dan kemudian singgah menjengukku. Kedatangan Ayah menggembirakanku. Enak makan dengan rakan-rakan, apa yang Ayah bawa. Cuma kekesalanku, keputusan STPMku kurang memuaskan pada kali pertama aku mengambilnya. Setelah gagal STPM kali pertama, aku berazam mengambilnya untuk kali kedua. Aku belajar sendirian di rumah. Tugasku membantu Ayah tidak aku jalankan sepertimana biasa. Maka Ayah telah tidak berteman di kebun. Ayah ada menyuarakan kepada seseorang tentang ketiadaanku membantunya. Nak buat macam mana, aku perlu fokus kepada ulangkajiku.

     Berkat kerja kerasku yang belajar hingga jauh malam, aku bersedia untuk STPM kali kedua. Masih kuingat, apabila keputusanku diterima melalui surat berdaftar. Debaran begitu memuncak apabila kubuka surat itu sendiri. Aku lulus! Ayah dan Ibuku menjadi insane yang sangat gembira dengan kejayaanku. Ayah terutamanya bercerita kepada ramai orang akan kejayaanku. Apatahlagi aku kemudian diterima belajar di UM seperti abang sulongku dahulu.

     Kejayaan adik-beradikku dalam pelajaran menggembirakan Ayah. Aku biasa dengar dia bercerita kepada orang lain. Abang sulong belajar di UM dan kemudian menjadi pegawai bank. Abang kedua menjadi pegawai kastam.Abang ketiga menjadi guru. Kakakku belajar di SM Tun Fatimah, kemudian belajar di UTM dan akhirnya menjadi guru. Kemudian baru aku. Kami semua berasa puas kerana berjaya mengharumkan nama keluarga, dan pastinya menggembirakan Ayah dan Ibu. Berbaloi kerja keras mereka selama itu.

     Sekian dahulu untuk kali ini.. Al-Fatihah untuk Haji Siraj Sarpan.

Monday 10 September 2012

KENANGAN BERSAMA AYAH (4)

FOTO KELUARGA BERSAMA ARWAH AYAH DAN DATUK (1986)


Saya teruskan kisah Kenangan Bersama Ayah untuk Siri ke 4. Masih ada  lagi peristiwa dan kisah-kisah bersama Ayah untuk tatapan pembaca.

  Semasa bersama Ayah, Ayah ada perkataan, frasa atau ayat tertentu yang menjadi `trademark’nya. Sebagai contoh, `singgeh linjah’, `Menyain apa..’, `Pergi Belemam apa’ `Degeded Sehege, sehege hue-hue’ dan banyak lagi. Perkataan-perkataan berkenaan disampaikan dengan nada bergurau dengan rakan-rakannya,  malah dengan kami.  Aku pula terikut-ikut, dan aku ada perkataan  tertentu yang aku suka gunakan, contohnya `Lamperogong Seseme’ dan `Sontoloyo’..

   Ayah bangun awal. Selepas  pencen, dia akan ke kebun membersihkan kebun atau sekitar rumah. Jika tidak, dia akan ke dapur bersarapan pagi dengan kopi panas. Ibuku telah faham, sebab itu pukul 7 pagi telah tersedia kuih-muih atau ubi rebus dan sebagainya. Sambil makan, ada sahaja yang dibualkan oleh Ayah dengan Ibu. Pendeknya, mereka memang intim!

   Semasa kecil, aku ni boleh dikira `gembeng’- mudah menangis. Kerana apa” Ada abangku yang suka menyakat, iaitu abang sulong. Maka menangislah aku.. Apabila Ayahku marah, dia tanya sapa yang buat, aku cakaplah, abangku yang buat. Ayahku pun marah-marah`, antara katanya “ Lawanlah balik orang yang kacau tu!”.

  Semasa kecil, aku, kakakku dan adik-adikku bermain bersama-sama. Kadang-kadang  main batu seremban, main ram rip, skipping, lompat tinggi, main masak-masak atau pondok-pondok. Oleh sebab kami ramai, leka la bermain  dalam tempoh yang lama. Hingga  Ayah panggil, balikkkkk. Barulah balik!

  Oleh sebab Ayah seorang guru, maka kami terdedah kepada tugas dan tanggungjawab seorang guru sejak kami masih kecil. Masih kuingat, Ayah bawa buku persediaan mengajar, buku latihan pelajar, menanda kertas ujian, mengira markah. Dan aku masih ingat perkataan `fund; digunakan dalam perbualan Ayah dan Ibu. Aku tak faham sangat maksudnya ketika itu, tetapi lama kemudian aku faham. Bahawa pada masa itu Ayah menggunakan sementara duit yuran pelajar sekolahnya untuk tujuan perbelanjaan kami dan membayar balik pada hujung bulan pada masa gaji.

Aku menyedari Ayah dan Ibu begitu teliti menguruskan perbelanjaan rumah tangga. Ibu tidak bekerja, dan mengharapkan  gaji Ayah. Tetapi bagi menampung perbelanjaan keluarga, Ibu berniaga kuih-muih, nasi lemak, jual ubi kayu. Setiap hujung bulan, Ayah dan Ibu akan  ‘bersidang’ bagi memperincikan perbelanjaan pada bulan berkenaan/berikutnya. Contohnya, bayar hutang kedai Hj Yom, RM100, bayar perabot Lam Ah RM60, bayar Kedai To RM 50, bayar yuran anak-anak RM150 dan pelbagai lagi.  Hampir setiap bulan aku saksikan `persidangan’ mereka dan tahu ke mana duit gaji itu  akan pergi. Dan bahagian terakhir `persidangan; itu yang aku masih ingat. Biasanya begini kata  Ayah: `Baki bersih tinggal RM40.’ Dan Ayah tersenyum pahit dan berkata, `Tinggal RM40..’ Memang banyak duit dikeluarkan untuk bayar itu dan ini…

   Memang baki bersih gaji Ayah terlalu sedikit, tetapi kami sekeluarga cukup makan pakai. Kerana apa? Kerana kecekapan Ibu menguruskan perbelanjaan dan menambah pendapatan. Maka Ibu tidak menang tangan untuk itu. Misalnya, bangun pukul 4 pagi kerana membuat nasi lemak atau kuih-muih. Kadang-kadang aku yang hantar ke kedai Abu atau kedai lain. Yang seronoknya, masa ambil bakul kuih pada tengah hari, dan tuan kedai memberitahu: `Kuih habis, ini bayarannya..’ Tetapi ada kalanya tak habis, antara puncanya kerana saingan dari kuih yang sama. Ibu jual nasi lemak dan karipap, orang lain pun sama…

   Ayah tidak cerewet dengan makanan. Apa sahaja yang Ibu sediakan, Ayah makan. Dan Ibu memang bijak mempelbagaikan menu masakan mahupun kuih muih. Tetapi ada makanan yang Ayah suka sangat. Antaranya Ubi Rebus, bingka ubi dan belebat pisang.
Apabila Ayah tidak cerewet, kami semua pun jadi tak cerewet tentang makanan. Lagipun kami faham Ayah dan Ibu telah berusaha menyediakan segala-galanya untuk kami.

   Pada awal tahun 1970-an, ekonomi  keluarga agak kurang memuaskan. Abang-abangku sedang belajar di Universiti Malaya dan SM Vokasional.. Pada tahun 1974, aku berada di Tingkatan 1.. Aku masih ingat, ke sekolah dengan memakai sepatu  plastik. Ada rakanku yang mentertawakan aku kerana  bersepatu plastik, sedangkan mereka berkasut kain Badminton Master. Aku yang memahami situasi kewangan keluargaku, menerima perlian rakan dengan begitu sahaja. Tak sampai hati nak meminta kasut yang lebih mahal daripada Ayah mahupun Ibu.. Aku reda..

   Semasa aku di Tingkatan 2, aku berkhatan. Aku masih ingat Ayah membawaku ke bandar. Lama juga menunggu giliran berkhatan. Apabila pulang, aku berbaring. Pada masa itu baru rasa sakit. Ayah datang mendekatiku dan cuba menenangkan . Berhari-hari dia dengan sabar mencuci dan membalut. Terasa sangat keprihatinannya terhadapku.

   Ayah seorang abang yang rapat dengan adik beradiknya Cik Urif, Cik Ahmad, Kak Yah, Cik Husin, Cik Hassan dan lain-lain. Dia akan selalu ke rumah mereka, begitu juga sebaliknya. Malah semasa aku masih kecil, aku ingat Ayah pergi ke Singapura ke rumah adiknya di sana. Mereka semua menghormati Ayah yang sejak kecil menguruskan mereka dengan baik. Ayah memang abang yang mengambil berat akan hal ehwal adik beradiknya – begitu juga dengan kami 9 beradik.

Berhenti setakat ini dahulu.. Alfatihah Untuk Haji Siraj Sarpan..


Friday 7 September 2012

KENANGAN BERSAMA AYAH (3)

AYAH DAN KELUARGAKU PADA HARI KONVOKESYENKU DI UM TAHUN 1985

    
AYAH DAN KAMI (HARI RAYA TAHUN 1986)
Kuteruskan  kisah ‘Kenangan Bersama Ayah’ pada siri ketiga ini. Bukan niatku untuk bernostalgia tidak menentu, tetapi niatku untuk berkongsi pengalaman suka duka bersama Ayahku.  Ada mesej tertentu yang ingin kubawa, khasnya bagi mereka yang masih memiliki Ayah…

  Satu pagi, ketika aku  berada dalam  Darjah 2, aku rasa seperti nak demam. Maka aku bangun dalam keadaan lesu dan segera memberitahu Ayah akan keadaanku. Lalu Ayah memangkuku dan berbicara dengan Ibu: `Tapa demam.. Tak payah sekolahlah’, sambil mengusap rambutku. Aku masih ingat, aku diangkat dan dibaringkan di atas tilam..Pada masa itu tak da rasa bersalah pun, kerana aku bukan demam, baru rasa nak demam.

  Pada masa aku kecil, kami tidur dengan menggunakan kelambu, bagi menghalang nyamuk menghirup darah kami. Seringkali aku terjaga malam dan mendapati Ayah bertungkus lumus  menepuk dan menangkap nyamuk, yang masih berupaya masuk di celah-celah kelambu. Lama juga dia memandang ke kiri dan ke kanan mencari nyamuk.
Kerana sayangkan kami…

  Pada masa aku di awal sekolah  rendah, Ayahku beberapa kali membawa aku ke sekolahnya pada waktu petang, Ayahku mengajar di SK Seri Sekawan Desa. Seronok dibawa naik motor, tambah seronok apabila aku menjadi tumpuan murid-murid sekolah Ayahku, walaupun aku jadi malu apabila diberi tumpuan. Di sekolahnya ada latihan sukan. Maka aku dapat lihat kesungguhan Ayah melatih pelajarnya. Tegas dan meyakinkan.

  Ayahku kerap ke bandar kerana pelbagai urusan. Dia pergi menaiki motosikal. Selalu aku menunggu-nunggu kepulangannya. Kerana apa? Kerana Ayah selalunya akan membawa `buah tangan’ untuk kami, berupa apam balik, kuih-muih, putu mayam, lontong, roti canai atau rojak mamak. Seronok kami makan anak beranak. Enak sekali. Cendol mamak turut sering dibawa Ayah.. Kami tahu Ayah jarang menghampakan .

   Seperti yang kukatakan dalam siri pertama, Ayah selalu membawa kami sekeluarga berjalan-jalan atau makan angin. Tempat yang selalu kami pergi ialah Tanjung Emas , Muar.  Bukan jauh pun, sejam perjalanan dari Bagan. Tetapi yang menariknya, kami pergi untuk berkelah dan bersarapan pagi di kawasan berhampiran pantai. Sebelum itu Ibu akan memasak nasi lemak, mi goreng dan sebagainya. Jadi setibanya di Muar, kami bentang tikar dan makan beramai-ramai dengan gembiranya.  Kunjungan ke Muar itu amat kunanti-nantikan. Kemudian kami juga beli dan makan bubur terigu (gandum) dan apam balik Muar yang sungguh enak itu.

  Kami juga kerap ke Kuala Lumpur. Dengan menggunakan kereta Ford Escort lama, kami ke KL dengan membawa seisi keluarga, termasuk datuk dan nenekku. Pelik sekali kereta kecil, tetapi boleh muat pulak. Ada sekali tu, kereta itu rosak pada waktu malam berhampiran Estet Mantin di Negeri Sembilan. Dalam kegelapan itu, Ayah cuba menahan kenderaan yang lalu lalang. Masih kuingat lagi, ada seorang pemandu keturunan India yang membantu. Kejadian itu tidak menghalang Ayah untuk membawa kami ke KL atau tempat lain.

  Dalam siri lalu, aku nyatakan  Ayah hebat  dalam sukan. Dia ada bercerita tentang  itu. Tetapi dia suka bercerita tentang kejayaan sekolahnya, hasil kerja kerasnya , dalam pertandingan senaman sekolah-sekolah daerah Batu Pahat. Kewibawaan dan kegigihannya memungkinkan kejayaan sekolahnya, Sekolah Bandar Tinggi.

  Berdasarkan cerita Ibu, Ayah berkahwin agak lewat, iaitu umur 28 tahun. Hal ini kerana dia perlu menyara adik-adiknya yang ramai. Kesibukan mengurus mereka menjadikan Ayah tak menang tangan. Dan apabila Ayah berkahwin dengan Ibuku, mereka dikurniakan 9 orang anak yang lahir agak rapat. Sekali lagi Ayah dan Ibu tak menang tangan melayan kerenah kami. Kecekapan Ayah dan Ibu berjaya menguruskan kami.

  Kejayaan adik beradikku dalam pelajaran, amat menggembirakan Ayah. Dia selalu bercerita kepada sesiapa tentang kejayaan abang dan kakakku. Abang sulung lulus HSC dan masuk Universiti Malaya. Abang kedua jadi pegawai kastam. Abang ketiga menjadi guru. Manakala kakakku masuk sekolah berasrama penuh, SM Tun Fatimah. Aku pula berjaya dalam STPM dan masuk Universiti Malaya. Pastinya Ayah amat gembra dengan kejayaan kami itu, begitu juga kejayaan adik-adikku yang lain dalam pelajaran.

Sesungguhnya, Ayah adalah segala-galanya.. Alfatihah Untuk Haji Siraj Sarpan..

 

Thursday 6 September 2012

KENANGAN BERSAMA AYAH (2)

AKU (BERBAJU BIRU)  BERSAMA AYAH DAN ADIK BERADIK YANG LAIN. FOTO TAHUN 1984


Ingin saya menyambung cerita `Kenangan Bersama Ayah’ sebagai meneruskan siri pertama. Sesungguhnya pengalaman itu elok dikongsikan. Mungkin dapat dicerakinkan demi kebaikan bersama.

  Sekitar usiaku 7 tahun, Ayah  kerap juga membawa aku ke pasar Batu Pahat dengan menaiki motosikal. Tiba di Bandar, kami minum kopi sambil makan lontong istimewa  (lontong itu masih ada hingga sekarang)
Rupanya rakan Ayah agak ramai. Kekadang lama juga tunggu dia bersembang dengan rakan. Tetapi part yang best ialah membonceng motosikal. Berangin dan dingin!

   Pada musim buah-buahan, Ayah akan mengajakku pergi mengambil buah durian yang gugur. Suka tengok durian bertaburan di sekitar pokok. Ayah juga membina pondok durian. Aku suka juga tunggu di pondok durian – menunggu durian gugur. Bedebuk! Mendengar bunyi durian gugur, aku  bergegas mengambilnya dan membawa pulang.

   Setiap 6 bulan, Ayah akan menebas rumput di kebun belakang rumah. Lalang dan aneka tumbuhan yang meninggi itu akan kami tebas – kekadang memakan masa  dua minggu kerana kebunnya seluas 3 ekar.Kerjanya memang penat. Ibu biasanya menyediakan bekalan ubi rebus, sambal tumis dan air kopi. Kami bersarapan di kebun, bersama abang-abangku, Ishak dan Yusof. Apabila abang-abangku menghadapi peperiksaan dan bekerja, tinggallah aku dan ayahku menebas.

  Selain pokok durian, pokok rambutan, pokok kelapa dan ubi kayu ditanam oleh Ayah. Kami akan kait rambutan dan ada saudara yang mengait kelapa. Seronok apabila diberi upah apabila kelapa dijual kepada peraih. RM1 dah besar pada masa itu!

   Ayah menternak ayam dan itik. Kandang didirikan untuk binatang itu. Biasanya kami adik beradik ditugaskan mengambil telur itik di kandang. Walaupun dalam keadaan kandang berbau najis ayam dan itik, aku seronok mengumpul telur. Biasanya kami kumpul sehingga dapat 10 biji, lalu ibuku akan merebusnya untuk menjadi menu keluarga.

   Ayah memang ahli sukan. Dia hebat bermain badminton. Ayah pernah bercerita dia mencapai beberapa kejayaan di peringkat mukim di Batu Pahat. Ketika saya dan rakan bermain bermain, Ayah sesekali minta untuk bermain seketika – dan jelas kemahirannya masih ada dan banyak tricknya dalam badminton!

   Walaupun aku agak takut dengan Ayah, semakin aku besar, aku semakin berani! Semasa menunggu keputusan SPM, aku telah pergi menyertai aktiviti kumpulan Tabligh selama 3 hari di Seri Medan, tanpa kebenaran Ayah. Apabila balik, Ayah memarahiku. Sebelum itu dia membebel mengatakan `Belum pandai cari duit, dah pandai buat macam itu’.. Aku kesal kerana tidak memberitahunya.

   Yang pasti , Ayah seorang yang rajin bekerja. Kalau tidak menebas rumput di kebun belakang, dia akan menajak rumput di halaman rumah. Atau membersihkan parit di hadapan rumah. Atau menanam ubi kayu, keledek dan pisang. Pada hari cuti, itulah yang dilakukan. Dan aku selalu ada sama. Kadang-kadang  untuk kawankan dia yang keseorangan di kebun. Seronok juga makan ubi yang dibakar panas-panas!

   Satu kehebatan Ayah ialah pandai menulis khat jawi. Dia sering diminta oleh persatuan dan sekolah untuk menulis khat pada sepanduk atau menulis Jawi pada buku program dan risalah , yang diminta oleh sekolah, masjid dan persatuan lain. Dari situ aku dapat belajar tulisan Jawi. Ayah yang membeli atau meminjam surat khabar Utusan Jawi, menjadi bahan tambahan untuk aku memahirkan diri dalam penulisan Jawi.

   Di sekolahku, ada seorang rakan yang suka membuliku. Aku ditolak dan suka disindir itu dan ini. Aku mengadu kepada emak, dan emak mengadu kepada Ayah. Apalagi, Ayah mahu aku ke rumah rakanku itu. Apabila sampai di sana. Ayah memanggil rakanku, dan memarahinya depan keluarganya. Aku masih ingat Ayah menggenggam surat khabar dan memukul ringan ke badan rakanku itu, dengan ingatan `Kalau awak buat lagi, teruk awak!’. Selamat aku daripada dibuli selepas itu!

Sekian dulu untuk siri kedua!


Tuesday 4 September 2012

KENANGAN BERSAMA AYAH

AKU DAN KELUARGA DI I-CITY SHAH ALAM

Entah mengapa, malam ini aku ingin berbicara tentang Ayah. Meski beliau telah kembali mengadap Ilahi pada tahun 1993, namun kenangan bersamanya tetap semarak di dalam jiwa. Ayahku pergi ketika usiaku 33 tahun dan sudah mempunyai 3 cahaya mata..

Ketika kecil, aku takutkan Ayah. Beliau seorang yang tegas. Banyak arahan dilakukan saban hari. Suruh buat itu dan ini. Tetapi tak banyak mana pun. Antara tugasku ialah angkat kain jemuran, sidai baju, bersihkan  semak samun di kebun, pergi kedai beli barang, malah pinjam surat khabar di rumah jiran.

Aku cukup berterima kasih kepada Ayahku kerana beliau suka baca akhbar. Kalau ke bandar, dia mesti beli. Kemudian kami berlanggan akhbar. Kerana Ayah, aku jadi addicted baca akhbar. Sekarang beli 3 paper sehari, kekadang 4 , kekadang 5!

Masa pinjam akhbar dari jiran, ada yang muncung.. Aku sabar aje la, kerana mereka seperti tak berapa minat nak bagi pinjam! Kemudian aku bila tak da surat khabar, pergi kedai Ah Seng pinjam baca akhbar NST tau! Ah Seng pun sama, macam tak berapa suka aku baca. Aku bukan apa, nak follow cerita bola sepak , khasnya Manchester United!

Berbalik tentang Ayah, takut kalau tengok Ayah marah. Suaranya tinggi. Apabila kami tak berhenti main bola, Ayah akan marah. Kekadang, nampak kelibatnya, kami terus bersurai kerana takut.

Dalam serius Ayah, beliau suka juga bergurau, terutama dengan pemuda kampung.Ayah aktif bersukan, khasnya badminton. Maka rumah kami sering jadi tumpuan, terutama waktu malam kerana rumah kami ada TV.  Nak tengok TV, kena bayar 10 sen seorang. Aku masih ingat Ayah buat iklan di luar rumah. Contohnya, Ayah tulis: Tayangan Malam ini: Hang Tuah, pukul 9 malam. Dewasa 10 sen, kanak-kanak 5 sen.. Maka penuh la rumah kami pada malam tayangan gambar melayu!

Satu yang bagus, Ayah suka bawa kami makan angin. Aku masih ingat, hampir setiap bulan ke Kuala Lumpur kerana ramai sedara mara di sana. Ke Singapura dan Muar pun selalu. Mungkin menuruni kebiasaan Ayah, sekarang aku pun suka makan angin!

Ayah sangat rajin menyidai baju dan melipat kain. Sungguh sabar dia melipat. Satu lagi, Ayah suka tukar-tukar kereta.. Macam aku sekarang la!

Ayah juga suka mengecat rumah.. Aku suka tengok dia mengecat.. dan.. dan.. aku kini pun suka mengecat!

Ayahku juga suka bercerita kisah-kisah masa muda, zaman Jepun dan masa dia jadi guru. Aku tidak jemu mendengarnya.. Selalu juga kami diminta cabut ubannya. Ayah kata, cabut 10 helai, upah 20 sen! Maka kerana nak duit, aku cepat siapkan tugasan. kekadang Ayah dah tidur meski baru sehelai dicabut ubannya!

Ayah mahukan aku menjadi guru sepertinya. Tak tergambar kegembiraannya apabila aku diterima masuk ke maktab perguruan. Tetapi apabila aku keluar maktab untuk masuk UM, Ayah sangat dukacita.

Syukur, Ayah dapat melihat aku menjadi guru akhirnya, dan dari tahun 1988-1993, Ayah melihat aku menjadi guru sepertinya. Dapat la beliau merasa wang gajiku setiap bulan..

Oleh sebab aku suka membaca sejak kanak-kanak, maka pengetahuanku agak banyak. Perasan ni! Seriously, Ayah yang tahu aku ada pengetahun isu semasa, khasnya politik, selalu bertanyakan itu dan ini. Maka kenalah aku bercerita dan mengulas perkara yang berlaku pada masa itu. Dia pun mengangguk2 tanda faham!

Antara perkara biasa yang dilakukan ialah, sikat rambut dengan kemas, pakaian bergosok rapi, tidur agak awal supaya bangun awal. Bab tidur dan bangun ni, Ayah memang tak suka kami bangun lambat atau tidur selepas Subuh. Dia ke kebun, aku pun kena ikut. Sampai sekarang, aku tak suka tidur balik selepas solat Subuh. Sebab Ayah kata, rezeki tak murah jika tidur selepas subuh...

Aku berharap anak-anakku meniru sifat kami yang bangun awal, solat Subuh dan tidak tidur balik seperti Ayahku.

Rasanya sampai di sini dahulu.. Banyak lagi kisah aku dan Ayahku akan menyusul!
Alfatihah untuk Ayahku, Haji Siraj bin Sarpan...

DI PERTENGAHAN SYAWAL

BERAYA DI RUMAH EN KHAMSULDIN

Hari ini sudah 17 Syawal. Bagi kami di Johor, Hari Raya masih rancak berjalan. Kunjungan ke rumah saudara mara dan rakan masih berlaku. Majlis Marhaban berjalan terus.

Pada awal Hari Raya, kami balik ke Selangor, kemudian sebahagian daripada mereka datang ke Johor. Majlis Marhaban membabitkan jemaah surau, taman perumahan dan guru-guru sekolah telah disertai.

Maka memang terasa kemeriahan Hari Raya.  Memang terasa penat ke sana sini, tetapi semua itu direlakan!
Seronok berjumpa saudara mara dan rakan taulan yang bukan selalu ditemui.

 Baru-baru ini rakan-rakan grup guru berhimpun di Chaah, Segamat. Lebih 10 ahli dapat dikumpulkan.. Ada yang sanggup datang dari KL dan Pahang, semata-mata keinginan untuk bersua muka dan berkenal mesra!

Maka, Syawal menjadi medan ukhuwah dan bermaaf-maafan...