Tuesday 12 November 2013

SAWADEE KAP SONGKHLA



Lawatan saya ke Songkhla  bulan lalu membawa pengalaman saya ke negara Gajah Putih. Antara tempat yang dikunjungi ialah Danok, Hatyai dan persekitaran wilayah Songkhla.
 
   Melepasi Imigresen Bukit Kayu Hitam, menyeberang ke pekan Danok.  Pekan koboi ini mengandungi deretan kedai barangan Thai dengan harga berpatutan. Kami kemudian meneruskan sejam perjalanan ke bandar Hatyai.

   Setibanya di sana, kami Plaza Nora , yang menjual banyak barangan kulit. Kami juga ke pusat jualan madu lebah. Taklimat diberi dalam bahasa Melayu. Pada petangnya , kami ke pasar terapung Songhla. Ada berpuluh-puluh perahu menjual produk Thailand, khasnya makanan.  Sungainya bersih. Ketika berpusing di situ, saya singgah di gerai Burger. Terkejut saya, yang dijual ialah Burger Ramli!

   Keesokanya kami pergi ke pantai Songkhla dan melihat perkampungan Melayu Songkhla. Kami juga pergi ke pusat ternakan gajah dan berpeluang menaiki gajah. Pengalaman yang menarik dan menyenorokkan!

   Kami bermalam di Hatyai. Bandar yang terkenal dengan industri yang tidak asing itu memang tersedia bermacam-macam berkaitan industri itu, tetapi kami tidak mencari yang itu. Semasa meronda pada waktu malam,saya melihat dengan lebih dekat pasar malam di situ. Ada restoran Melayu di sana, iaitu Restoran Salmah. Di sebelah hotel Grand Plaza ada gerai menjual nasi lemak kukus dan ayam goreng berempah. Enak sekali! Pendeknya tiada masalah untuk mendapat makanan halal.

  Saya dapati daerah Songkla ada banyak tarikan. Pemandu kenderaan di sana amat cermat dan tidak membunyikan hon sesuka hati. Ramai yang boleh berbahasa Melayu dan kebanyakannya berasal dari Petani dan Yala.

Demikian serba sedikit kisah kembara saya ke wilayah Songkla baru-baru ini.


Wednesday 25 September 2013

PERISTIWA HITAM YANG SUKAR DILUPAKAN

     Tarikh 31 Ogos setiap tahun memang tarikh keramat bagi seluruh warga bumi tercinta itu, tetapi pada tarikh itu akan menjadi tarikh yang sukar saya lupakan dalam lembaran hidup saya - Kerana pada tarikh  itu saya terbabit dalam kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawa saya. Syukur kepada Ilahi, saya masih diberi ruang dan kesempatan untuk menyedut udara di alam yang fana ini.

   Pada petang 31 Ogos lalu, saya bersama isteri dan dua anakanda telah menaiki kenderaan Innnova kami untuk menziarahi anak bongsu di SM Sains Kluang. Setibanya di Kg Manong, sebuah kereta Kelisa dari arah bertentangan dipandu dengan laju sekali lalu memasuki lorong kami. Kereta itu terbabas secara mengejut. Saya tidak sempat mengelak, lalu berlaku perlanggaran. ketika kereta itu melintang di hadapan saya, yang terlintas di hati saya ialah "matilah saya.."

  Sedar-sedar, beg udara memenuhi pandangan saya dan rupanya saya masih hidup. Perkataan pertama terlintas di minda saya ialah: 'Alhamdulillah, masih hidup'. Saya dalam kesakitan yang amat sangat di bahagian dada dan kaki., segera menoleh isteri yang tercepit di celah dash board yang runtuh. Segera saya merangkak dalam serba kepayahan dan keluar kereta menuju ke arah tempat duduk isteri. Dia kesakitan. Dengan seluruh tenaga saya yang berbaki, saya cuba mengeluarkannya dengan menguak dash board yang runtuh itu. Usaha saya berjaya lalu dibantu oleh orang ramai, meletakkan isteri di atas rumput. Tangan saya berlumuran darah. Sakit makin dirasakan. Dua anak perempuan saya juga kesakitan.

  Ramai insan berhati mulia yang datang membantu. Ada yang memayungkan kami (hujan renyai-renyai ketika itu). Ada yang menghulurkan tuala untuk mengelap darah di tangan saya. Ada yang menghubungi ambulans. Ada juga yang menyabarkan kami. Saya menjeling di kiri saya. Sekujur tubuh seorang pemuda terbujur kaku - Insan yang memandu Kelisa itu sudah meninggal dunia.

  Lima minit kemudian, ambulans membawa kami ke Hospital Kluang. Perjalanan itu dirasakan terlalu lama. dalam keadaan isteri yang kesakitan dan tidak boleh berjalan. Saya boleh berjalan tetapi dalam serba kepayahan. Setibanya di hospital, kami dibawa ke wad kecemasan.  Saya telah diperiksa doktor, di xray dan dijahit sebanyak lapan jahitan di tangan kiri. Sakit di dada dan kaki masih dirasa. Semasa menunggu proses itu, saya terus-terusan bersyukur kepada Allah. Rakan baik saya, Khamsuldin datang menenangkan saya dan bertanya khabar. Terima kasih, sahabat.

 Isteri saya pula didapati retak di lutut, patah tulang bahu dan patah tiga jari kaki. Kakinya disimen dan perlu dimasukkan ke wad. Saya dan dua anak perempuan dibenarkan balik. Hasil x ray menunjukkan tiada yang patah di tubuh saya. Syukur kepada Ilahi. Pada masa itu, adik beradik  dan anak saudara saya telah sampai di hospital dan membantu urusan kami.

 Pada lewat malam, saya dibenarkan balik dan dibawa abang saya balik ke rumah di Batu Pahat. Saya dibaringkan di ruang tamu dan pergerakan saya memang terbatas ketika itu. Anak perempuan saya juga demikian. Dia perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

 Isteri saya kemudian dipindahkan ke Batu Pahat. Kami diberitahu, pembedahan lutut  isteri mungkin hanya dapat dilakukan dua minggu kemudian kerana ramai senarai menunggu. Adik beradik saya mencadangkan isteri saya dibedah di hospital swasta dan mereka sanggup menampung sebahagian perbelanjaan. Saya bersetuju. Bagaimanapun ketua doktor bedah, Doktor Huzairi telah melarang kami berbuat demikian. Tiga hari selepas itu, isteri saya selamat dibedah. Terima kasih Doktor Huzairi dan pasukan bedah HBP.

 Selama dua belas hari, isteri saya berada di wad VIP Hospital Batu Pahat. Saya pula berada di rumah dan mengurangkan pergerakan, makan ubat tahan sakit dan berehat. Dalam tempoh itu, kami dilawati rakan sekerja, jiran-jiran dan saudara mara dari jauh dan dekat.

Tetapi saya perlu juga menguruskan hal insurans, bengkel kereta, laporan polis dan urusan peguam. Penat juga naik turun pejabat, tetapi semua itu perlu diuruskan.  saya bercuti selama lapan hari. Kesihan pelajar saya, tetapi apakan daya. Saya perlu benar-benar sihat, baru bekerja semula.

 Isteri  saya pula masih dalam rawatan. Kaki kanannya perlu diluruskan sentiasa. Jahitan telah dibuka, tetapi lutut yang diikat besi , belum dibuka. Dia tidak dibenarkan pijak ke tanah. Cutinya dijangkan melebihi tiga bulan. Pada bulan Oktober, mungkin bermula proses rawatan oleh fisioterapi untuk memulakan proses berjalan semula. Semoga dia cepat sembuh.

  Kini, hampir sebulan berlalu. Sakit di badan dan kaki saya masih ada sedikit. Nak naik tangga, ada sedikit kesakitan. Tetapi saya perlu menggagahkan diri saya untuk menjalani kehidupan seperti biasa dan melaksanakan tugas di sekolah serta di rumah.

  Sedikit tentang pemandu kereta Kelisa. Namanya Hamhafizudin Abdul Shukur. Berusia 20 tahun dari Parit Bingan. Dia memandu laju dan maut serta merta. Menurut ibunya, tayar keretanya telah tidak berbunga dan dia telah diberi wang untuk menukar tayar. Malangnya sebelum sempat menukar tayar, dia telah menemui ajalnya. Alfatihah untuk Allahyarham.

Kini , isteri saya dalam tempoh rawatan dan pemulihan. Kebetulan anakanda kami, Nur Wahida dan Hadi Rusyaidi sedang bercuti, maka dapatlah mereka menguruskan hal ibunya dengan efektif. Meskipun  tempoh pemulihan memakan masa, tetapi semuanya perlu dilalui. Semoga dia tabah dan sabar dengan dugaan ini. Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Segalanya ini ada rahmat dan hikmah. Kami reda dengan ketentuan-Nya.

 Insha Allah kami akan pulih daripada trauma ini dan kami berdoa agar kami dapat sembuh sepenuhnya. Agar dapat kami kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Agar dapat kami membina takwa dan iman. Amin.



Kereta Innova saya selepas kemalangan


Monday 19 August 2013

SYAWAL DI PERTENGAHAN

FOTO HARI RAYA KELUARGA SAYA

Hari ini Syawal berada pada hari ke 13.. Sejak hari pertama, pelbagai aktiviti  kami lalui. Setelah pulang beraya di Bagan pada Raya pertama, kami menerima kunjungan saudara mara dan rakan-rakan serta anak didik silih berganti.
Pada Raya kedua  , adik beradik dan anak saudara saya datang berkunjung. Meriah rumah kami. Pada Raya ketiga , kami ke rumah adik saya, Mazlina. Pada lewat petang, satu lagi kumpulan adik beradik isteri dan anak saudara sebanyak lapan kenderaan turun dari Shah Alam dan Lembah Klang.  Gegak gempita jadinya rumah kami!
  Kami juga menerima kunjungan rakan FB, Lia dan Maria Kabtia dengan keluarga masing-masing.  Tidak sangka mereka sanggup datang. Terima kasih!
  Isteriku juga menerima kunjungan anak murid dan bekas anak murid. Sekumpulan bekas anak didik saya, diketuai sdr Aminudin turut datang. Pada minggu lalu juga kami menerima rombongan Marhaban penduduk Parit Haji Sidek. Hidangan mi kari disediakan. Manakala hari minggu ini, rombongan Marhaban Taman Ros akan hadir ke rumah kami.
  Pendeknya kami tak menang tangan melayan tetamu yang datang. Apapun, kami gembira kerana dapat melayan mereka semua. Kedatangan anda semua dialu-alukan!

Tuesday 30 July 2013

PULAU TIOMAN MENGGAMIT MEMORI

Saya, isteri, Hadi dan Aiman di atas bot

Di pantai Genting, Tioman


Sungguhpun telah hampir dua bulan berlalu, lawatan saya ke Pulau Tioman telah membawa kenangan manis buat saya, isteri dan guru-guru sekolah saya.


Pulau Tioman terletak di negeri Pahang Darul Makmur. Pulau yang diiktiraf antara 10 pulau tercantik di dunia menggamit guru dan staf sokongan SMK Penghulu Saat untuk bercuti di sana. Atas tema ‘Jom Jalan-jalan’, Kelab Bilik Guru SMKPS yang diterajui Puan Zaimah Sahar telah menggerakkan usaha ke sana. Hasilnya pada 3 hingga 5 Jun lalu , rombongan guru dan staf meninggalkan Parit Sulong untuk ke sana.



Ahli rombongan SMKPS


Perjalanan selama tiga jam melalui bandar Kluang dan Mersing memang meletihkan, tetapi kerana tekad mereka untuk bercuti bersama-sama , telah memungkinkan semuanya. Mereka menaiki feri dari jeti Mersing dan mengharungi perjalanan selama 1 jam 20 minit sebelum sampai ke Resort Idaman di Kg Genting, Tioman.

Sesampainya di sana , mereka terpesona melihat kejernihan air laut dan kepelbagaian jenis ikan beraneka warna yang ada di sekitar jeti. Walaupun kepenatan pada malamnya, mereka tetap turun ke jeti untuk melihat pekan Genting dan pemancing menjalankan aktiviti memancing.


                       
     AHLI ROMBONGAN MANDI DAN BERSNORKEL DI TAMAN LAUT


Pada pagi hari kedua, rombongan dibawa dengan tiga buah bot menuju Pekan Tekek. Di sana mereka bersiar-siar di sekitar pekan, di mana terdapat pasar raya kecil menjual aneka barangan bebas cukai. Tidak ketinggalan, mereka menikmati Roti Shady Bakery yang enak sekali.

Kemudian mereka meneruskan perjalanan ke Taman Laut Tioman untuk bermandi manda. Banyak sekali insan yang ada di kawasan pantai itu bermandi manda dan menikmati kejernihan air laut dan ikan pelbagai warna.


Perjalanan seterusnya ialah pergi ke kawasan karangan laut (coral) di kawasan berhampiran. Di sini ahli rombongan terjun ke laut dengan menggunakan jaket keselamatan dan goggle. Mereka begitu asyik melihat kecantikan coral di situ, yang sebelum itu hanya dilihat dalam rakaman gambar, majalah atau di kaca televisyen.


                       


PEMANDANGAN MATAHARI TERBENAM DI GENTING


Pada lewat petang, ahli rombongan berpeluang melihat matahari terbenam (sunset) yang cukup indah dan romantik. Subhanallah… Manakala pada sebelah malam, mereka menikmati makan malam dan BBQ yang sungguh enak dan menyelerakan.

Pada hari ketiga, ahli rombongan terus bermandi manda di sekitar kawasan Genting. Di celah-celah batu, terdapat banyak anak ikan pelbagai warna yang memukau pandangan. Ahli rombongan sempat bergambar kenangan sebelum berangkat pulang pada pukul 2 petang 5 haribulan Jun 2013.

Rata-rata ahli rombongan berpuas hati dengan program percutian kali ini, yang dapat mengeratkan hubungan guru dan staf sokongan di samping menikmati pelbagai tarikan tersedia di sana. Air laut yang kebiru-biruan, melihat coral, bersnorkel melihat hidupan laut dan menikmati percutian keluarga bersama rakan-rakan adalah kenangan manis bagi mereka.

Sebagai catatan, guru dan staf yang turut serta bersama keluarga masing-masing ialah Encik Razak Othman, Tuan Haji Zainal Musni, Haji Mustaffa Siraj, Encik Jais Bakar, Encik Mashudi Said, Encik Amirul Syafiq, Puan Zaimah Sahar,Puan Nor Haliza Saat, Puan Nur Hidayah dan Pun Umi Umaroh.

Monday 29 July 2013

RAMADAN 2013

Berlakon semasa Hari Guru sebagai Sultan Melaka.


Sudah lama tidak menulis dalam Blog saya.. Kekangan masa menyulitkan langkah saya di sini. Sejak Februari, rentetan tugas dan tanggungjawab terpikul di bahu.  Antaranya perkhemahan bersepadu unit beruniform, hari keusahawanan dan hari sukan sekolah. Alhamdulillah, semuanya beres!

 Kini Ramadan menuju penghujungnya. Tadarus dan Terawih masih berterusan.  Bazar Ramadan menjadi tempat mencari sesuatu yang baru dan adakalanya berjumpa rakan lama dan bekas pelajar. Di celah hingar-bingar peniaga dan pelanggan, kami sempat bertukar-tukar berita dan cerita.. Seronok!

  Moga Ramadan ini mengundang sejuta rahmat dan semoga Allah menemukan saya dengan Ramadan 2014!

Tuesday 19 February 2013

ZAMAN SEKOLAHKU (2)


Oleh sebab aku bertubuh kecil dan nampak takut-takut di sekolah, maka ada rakanku sendiri yang suka membuli. Aku ditolak, diambil barangku dan  macam-macam lagi. Kejadian berlaku ketika aku dalam  darjah tiga. Apabila kuadukan kepada Ibu, maka Ibu pun mengadu kat Ayah.

Apalagi, Ayah mahu aku bawa dia ke rumah budak itu (Aku tidak menyebut namanya di sini). Kami bermotosikal ke rumah budak itu. Sesampainya di rumah budak itu (melalui jalan kampung dan penuh pohon merimbun), Ayah segera memanggil nama budak itu. Emak budak itu keluar. Ayah membebel kepada maknya, lalu maknya memanggil budak itu (yang mulanya tidak berani keluar).

 Dengan menggenggam surat khabar, Ayah menepuk-nepuk di bahu budak itu dengan memberi amaran keras. Budak itu menjadi takut. Kalaulah dia cuba menjawab, rasanya naik penampar Ayahku! Budak itu  berjanji tidak buat lagi! Aku lega.

Semasa dalam Darjah 4, aku  mula meminati mata pelajaran Matematik dan dalam satu ujian , aku mendapat markah 100 peratus. Aku menjadi terlalu gembira. Ada enam orang lagi mendapat 100 peratus, dan kesemuanya perempuan. Jadi aku lelaki tunggal mendapat markah penuh!.

 Pada masa itu, pasukan bola sepak Kampung Bagan agak kuat, dan antara pemain handalan pasukan ialah abang sulungku, Rosdi. Pasukan itu rajin menyertai pertandingan peringkat mukim dan daerah. Aku masih ingat menonton perlawanan-perlawanan itu dan kagum dengan kemahiran abangku menggelecek bola, kelajuan Syawal sebagai pemain sayap dan kemantapan pertahanan di bawah Mail Debab dan Atan.
Daripada melihat permainan mereka, aku makin minat bermain bola.

 Maka aku dan rakan-rakan sebayaku mula aktif bermain bola di halaman rumahku. Kami gunakan bola plastik. Harganya 60 sen..
Apabila main tiga empat hari, biasanya bola itu bocor, lalu kami beli lagi!  Halaman rumahku menjadi `stadium’ tempat kami bermain. Dari lepas Asar, kami bermain hingga maghrib. Kekadang, setelah Ayahku  bercekak pinggang memandang dengan wajah masam mencuka, baru kami berhenti main.

Kemudian kami guna bola getah. Padang SK Bagan B menjadi `stadium’ kami bermain. Kami ada pasukan yang  sanggup pergi ke kampung-kampung berhampiran untuk mengadakan perlawanan. Anggota pasukanku ialah: Aku, Fuad, Md Zin, Jamal, Khalid, Kamal, adikku Zul, Zul Bagan Lama, Azmi dan Jais. Di Jalan Baru , ada team yang diketuai oleh Salleh Jabar.  
Kg Parit Ibrahim pula, ada team di bawah Zulkifli Katan. Memang sengit perlawanan yang dijalankan. Kerana apa? Kerana, 22 pemain di padang yang tidak sebesar mana! Sekali bola di pintu gol lawan, hampir 20 pemain berkerumun berebut bola!

  Kemuncak pembabitanku dalam bola sepak di sekolah rendah ialah, aku terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan peringkat  zon semasa aku dalam Darjah 6. Di peringkat awal, kami mengalahkan Mampan 4-0, kemudian mengalahkan Gambut 2-1. Akhirnya kami masuk final dan bertemu Peserian.

  Kami menjalani latihan pusat sejak mula. Kami dikumpulkan di sekolah dan aku masih ingat, sebelum latihan, kami dibawa ke bangunan belakang sekolah.
Di situ Cikgu Mohd Masrom dan Cikgu Salleh Atan akan memberi motivasi. Kemudian sesi menyapu asap kemenyan ke kaki kami dilakukan sambil membaca selawat. Berasap bilik belakang itu dibuatnya!

 Semasa pertandingan, aku bermain di bahagian sayap.
Pada masa itu, pemain tidak dilatih untuk turun naik. Maka aku banyak menunggu bola datang kepadaku, lalu kalau dapat, aku sepak ke tengah. Tendanganku boleh tahan kuat. Aku masih ingat, aku mengambil sepakan sudut beberapa kali dan juga ketika aku membawa bola, namaku dijerit oleh murid-murid perempuan kelasku di tepi padang. Aku berasa seronok!

   Final bertemu Peserian menjadi perlawanan yang sangat sukar bagi kami. Pasukan mereka memang setakuk lebih hebat, dan akhirnya kami tewas 4-0!
Walaupun kami kecewa, kami sedar bahawa Peserian memang jauh lebih mantap daripada kami!

Bersambung  lagi.

Monday 18 February 2013

ZAMAN SEKOLAHKU (1)




 Ceritaku akan berkisar  peristiwa-peristiwa semasa di sekolah rendah, iaitu antara tahun 1968-1973. Banyak kenanganku dalam tempoh itu.

Aku memasuki Darjah 1 pada tahun 1968. Pada masa itu belum ada tadika, jadi aku hadir ke sekolah dalam keadaan takut dan malu. Ada juga rakanku yang menangis-nangis minta dibawa balik.
Syukur aku tidak begitu!

  Dalam keadaan aku begitu, kakakku Rusnah sering menjadi penyelamat kepada aku. Banyak pertolongan diberikan dan sentiasa sedia membantuku. Kami makan bekal bersama.  Dia akan mencariku pada waktu rehat. Aku yang masih tidak faham selok belok di Sekolah Bagan B itu, akan dibawanya ke sekitar sekolah. Kalau dia tiada, aku seperti tenggelam punca.

  Apabila aku memasuki Darjah 2, aku sudah ada rakan-rakan karib. Antaranya Razif, Shamsudin, Wahid, Daud dan Ibrahim. Kami makan bekal bersama-sama, malah berkongsi bekalan yang dibawa. Selalu juga makan dengan Razif. Macam-macam aku dapat rasa – daripada pisang goreng, ubi rebus lawan sambal tumis, nasi lemak, ikan belukang, mi goreng dan sebagainya. Sungguh meriah keadaannya di bawah bangunan sekolah itu jadinya!

  Cikgu-cikgu pada masa itu memang baik. Aku masih ingat guru kelasku, namanya Cikgu Isa. Suaranya lembut dan pandai melayan kerenah kami. Seorang lagi ialah Cikgu Hendon, yang mengenali ibu bapaku. Cikgu Hendon cukup prihatin dengan sebarang masalahku.

  Seorang lagi ialah Cikgu Muhamad Masrom. Beliau juga mengenali keluargaku. Aku masih ingat, dia melantikku sebagai ketua darjah. Balik rumah, aku mengadu kepada Ibu bahawa aku tidak sanggup. Lalu Ibu membuat surat kepada Cikgu Muhamad.  Apabila beliau membacanya, beliau segera  membawaku ke biliknya.

  ”Saya mahu jadikan awak macam kakak awak, yang berjaya dalam peperiksaan Penilaian darjah 5. Awak kena terima!”

   Terkejut aku dibuatnya. Nampak keseriusan wajahnya. Beliau mahu aku berjaya, dan pada masa yang sama menjadi ketua darjah yang bagus.

   Seorang lagi guru ialah Cikgu Zakaria, yang mempunyai isteri di sekolah itu, iaitu, Cikgu Aishah. Sekali tu, aku melakukan kesalahan. Beliau marah dan menampar-nampar perutku. Sakit!

   Kelasku sungguh meriah. Kelas kami dengan kelas lain hanya dipisahkan oleh dinding pemisah yang boleh dialihkan. Apa lagi, apabila kelas sebelah tak da guru, riuh rendah jadinya. Maka Cikgu Muhamad akan menjenguk dan menjerit, ”Diam!”

   Aku dan rakan-rakan memang kaki bola. Ketika Pendidikan  Jasmani, kami main all out. Berpeluh-peluh kami mengejar bola. Aku agak bagus main bola, tetapi tidak sebagus Wahid dan Mazlan. Mereka bintang bola ketika itu. Tetapi ada sekali itu, ketika bermain bola, kakiku terkena kaca yang agak besar. Berdarah-darah jadinya. Aku menangis kesakitan dan dibawa ke klinik oleh tukang kebun, Encik Pauzan yang mendukungku. Kena jahit kakiku itu.

  Ada yang mengatakan bahawa seorang rakanku menolakku hingga aku jatuh di tepi padang itu hingga kejadian di atas terjadi. Aku tidak pasti. Aku tidak berdendam dengan sesiapa. Aku anggap kejadian itu sebagai kemalangan yang bisa terjadi kepada sesiapa.


Bersambung lagi...

Tuesday 29 January 2013

LAMBAIAN LANGKAWI

DI DATARAN  LANG
DI DALAM KERETA KABEL LANGKAWI

                                                         DI HADAPAN GUA KELAWAR
Setelah 7 tahun tidak berkunjung ke pulau legenda Mahsuri, maka saya dan isteri berkunjung ke sana sekali lagi pada 25-28 Januari yang lalu. Jika sebelum ini datang bersama keluarga, kali ini kami datang dengan rombongan sekolah, seramai 44 orang.


   Langkawi nampak makin pesat membangun. Banyak bangunan baru kelihatan, terutama hotel baru. Kami sempat mengunjungi Kilim Geoforest Park, kawasan yang dikatakan telah wujud 530 juta tahun lalu. Seronok melihat gua kelawar dan peraiaran sekitarnya.


  Seperti biasa, tidak sah ke Langkawi jika tidak menaiki kereta kabel Langkawi, setinggi 700 meter dari aras laut.  Pemandangan indah di puncak Gunung Machinchang menggamit kalbu.

DI PEKAN RABU, ALOR SETAR
AHLI ROMBONGAN BERGAMBAR KENANGAN DI DATARAN LANG


  Dataran Lang juga menjadi destinasi wajib untuk dikunjungi. Kami berfoto beramai-ramai di situ. Selain itu, kami mengunjungi pusat jualan Gamat Nusantara, pusat jualan batik dan membeli-belah di Idaman Suri serta Haji Ismail Group. Sesak sekali di sana!

  Selain Pulau Langkawi, kami turut pergi ke Padang Besar dan Pekan Rabu - destinasi membeli-belah yang terkenal.


  Tuntasnya, kami semua gembira semasa di sana. Percutian keluarga yang amat menyeronokkan! Sudah ada ahli rombongan yang menyuarakan hasrat untuk datang lagi...