Wednesday 25 September 2013

PERISTIWA HITAM YANG SUKAR DILUPAKAN

     Tarikh 31 Ogos setiap tahun memang tarikh keramat bagi seluruh warga bumi tercinta itu, tetapi pada tarikh itu akan menjadi tarikh yang sukar saya lupakan dalam lembaran hidup saya - Kerana pada tarikh  itu saya terbabit dalam kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawa saya. Syukur kepada Ilahi, saya masih diberi ruang dan kesempatan untuk menyedut udara di alam yang fana ini.

   Pada petang 31 Ogos lalu, saya bersama isteri dan dua anakanda telah menaiki kenderaan Innnova kami untuk menziarahi anak bongsu di SM Sains Kluang. Setibanya di Kg Manong, sebuah kereta Kelisa dari arah bertentangan dipandu dengan laju sekali lalu memasuki lorong kami. Kereta itu terbabas secara mengejut. Saya tidak sempat mengelak, lalu berlaku perlanggaran. ketika kereta itu melintang di hadapan saya, yang terlintas di hati saya ialah "matilah saya.."

  Sedar-sedar, beg udara memenuhi pandangan saya dan rupanya saya masih hidup. Perkataan pertama terlintas di minda saya ialah: 'Alhamdulillah, masih hidup'. Saya dalam kesakitan yang amat sangat di bahagian dada dan kaki., segera menoleh isteri yang tercepit di celah dash board yang runtuh. Segera saya merangkak dalam serba kepayahan dan keluar kereta menuju ke arah tempat duduk isteri. Dia kesakitan. Dengan seluruh tenaga saya yang berbaki, saya cuba mengeluarkannya dengan menguak dash board yang runtuh itu. Usaha saya berjaya lalu dibantu oleh orang ramai, meletakkan isteri di atas rumput. Tangan saya berlumuran darah. Sakit makin dirasakan. Dua anak perempuan saya juga kesakitan.

  Ramai insan berhati mulia yang datang membantu. Ada yang memayungkan kami (hujan renyai-renyai ketika itu). Ada yang menghulurkan tuala untuk mengelap darah di tangan saya. Ada yang menghubungi ambulans. Ada juga yang menyabarkan kami. Saya menjeling di kiri saya. Sekujur tubuh seorang pemuda terbujur kaku - Insan yang memandu Kelisa itu sudah meninggal dunia.

  Lima minit kemudian, ambulans membawa kami ke Hospital Kluang. Perjalanan itu dirasakan terlalu lama. dalam keadaan isteri yang kesakitan dan tidak boleh berjalan. Saya boleh berjalan tetapi dalam serba kepayahan. Setibanya di hospital, kami dibawa ke wad kecemasan.  Saya telah diperiksa doktor, di xray dan dijahit sebanyak lapan jahitan di tangan kiri. Sakit di dada dan kaki masih dirasa. Semasa menunggu proses itu, saya terus-terusan bersyukur kepada Allah. Rakan baik saya, Khamsuldin datang menenangkan saya dan bertanya khabar. Terima kasih, sahabat.

 Isteri saya pula didapati retak di lutut, patah tulang bahu dan patah tiga jari kaki. Kakinya disimen dan perlu dimasukkan ke wad. Saya dan dua anak perempuan dibenarkan balik. Hasil x ray menunjukkan tiada yang patah di tubuh saya. Syukur kepada Ilahi. Pada masa itu, adik beradik  dan anak saudara saya telah sampai di hospital dan membantu urusan kami.

 Pada lewat malam, saya dibenarkan balik dan dibawa abang saya balik ke rumah di Batu Pahat. Saya dibaringkan di ruang tamu dan pergerakan saya memang terbatas ketika itu. Anak perempuan saya juga demikian. Dia perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

 Isteri saya kemudian dipindahkan ke Batu Pahat. Kami diberitahu, pembedahan lutut  isteri mungkin hanya dapat dilakukan dua minggu kemudian kerana ramai senarai menunggu. Adik beradik saya mencadangkan isteri saya dibedah di hospital swasta dan mereka sanggup menampung sebahagian perbelanjaan. Saya bersetuju. Bagaimanapun ketua doktor bedah, Doktor Huzairi telah melarang kami berbuat demikian. Tiga hari selepas itu, isteri saya selamat dibedah. Terima kasih Doktor Huzairi dan pasukan bedah HBP.

 Selama dua belas hari, isteri saya berada di wad VIP Hospital Batu Pahat. Saya pula berada di rumah dan mengurangkan pergerakan, makan ubat tahan sakit dan berehat. Dalam tempoh itu, kami dilawati rakan sekerja, jiran-jiran dan saudara mara dari jauh dan dekat.

Tetapi saya perlu juga menguruskan hal insurans, bengkel kereta, laporan polis dan urusan peguam. Penat juga naik turun pejabat, tetapi semua itu perlu diuruskan.  saya bercuti selama lapan hari. Kesihan pelajar saya, tetapi apakan daya. Saya perlu benar-benar sihat, baru bekerja semula.

 Isteri  saya pula masih dalam rawatan. Kaki kanannya perlu diluruskan sentiasa. Jahitan telah dibuka, tetapi lutut yang diikat besi , belum dibuka. Dia tidak dibenarkan pijak ke tanah. Cutinya dijangkan melebihi tiga bulan. Pada bulan Oktober, mungkin bermula proses rawatan oleh fisioterapi untuk memulakan proses berjalan semula. Semoga dia cepat sembuh.

  Kini, hampir sebulan berlalu. Sakit di badan dan kaki saya masih ada sedikit. Nak naik tangga, ada sedikit kesakitan. Tetapi saya perlu menggagahkan diri saya untuk menjalani kehidupan seperti biasa dan melaksanakan tugas di sekolah serta di rumah.

  Sedikit tentang pemandu kereta Kelisa. Namanya Hamhafizudin Abdul Shukur. Berusia 20 tahun dari Parit Bingan. Dia memandu laju dan maut serta merta. Menurut ibunya, tayar keretanya telah tidak berbunga dan dia telah diberi wang untuk menukar tayar. Malangnya sebelum sempat menukar tayar, dia telah menemui ajalnya. Alfatihah untuk Allahyarham.

Kini , isteri saya dalam tempoh rawatan dan pemulihan. Kebetulan anakanda kami, Nur Wahida dan Hadi Rusyaidi sedang bercuti, maka dapatlah mereka menguruskan hal ibunya dengan efektif. Meskipun  tempoh pemulihan memakan masa, tetapi semuanya perlu dilalui. Semoga dia tabah dan sabar dengan dugaan ini. Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Segalanya ini ada rahmat dan hikmah. Kami reda dengan ketentuan-Nya.

 Insha Allah kami akan pulih daripada trauma ini dan kami berdoa agar kami dapat sembuh sepenuhnya. Agar dapat kami kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Agar dapat kami membina takwa dan iman. Amin.



Kereta Innova saya selepas kemalangan