Friday 7 September 2012

KENANGAN BERSAMA AYAH (3)

AYAH DAN KELUARGAKU PADA HARI KONVOKESYENKU DI UM TAHUN 1985

    
AYAH DAN KAMI (HARI RAYA TAHUN 1986)
Kuteruskan  kisah ‘Kenangan Bersama Ayah’ pada siri ketiga ini. Bukan niatku untuk bernostalgia tidak menentu, tetapi niatku untuk berkongsi pengalaman suka duka bersama Ayahku.  Ada mesej tertentu yang ingin kubawa, khasnya bagi mereka yang masih memiliki Ayah…

  Satu pagi, ketika aku  berada dalam  Darjah 2, aku rasa seperti nak demam. Maka aku bangun dalam keadaan lesu dan segera memberitahu Ayah akan keadaanku. Lalu Ayah memangkuku dan berbicara dengan Ibu: `Tapa demam.. Tak payah sekolahlah’, sambil mengusap rambutku. Aku masih ingat, aku diangkat dan dibaringkan di atas tilam..Pada masa itu tak da rasa bersalah pun, kerana aku bukan demam, baru rasa nak demam.

  Pada masa aku kecil, kami tidur dengan menggunakan kelambu, bagi menghalang nyamuk menghirup darah kami. Seringkali aku terjaga malam dan mendapati Ayah bertungkus lumus  menepuk dan menangkap nyamuk, yang masih berupaya masuk di celah-celah kelambu. Lama juga dia memandang ke kiri dan ke kanan mencari nyamuk.
Kerana sayangkan kami…

  Pada masa aku di awal sekolah  rendah, Ayahku beberapa kali membawa aku ke sekolahnya pada waktu petang, Ayahku mengajar di SK Seri Sekawan Desa. Seronok dibawa naik motor, tambah seronok apabila aku menjadi tumpuan murid-murid sekolah Ayahku, walaupun aku jadi malu apabila diberi tumpuan. Di sekolahnya ada latihan sukan. Maka aku dapat lihat kesungguhan Ayah melatih pelajarnya. Tegas dan meyakinkan.

  Ayahku kerap ke bandar kerana pelbagai urusan. Dia pergi menaiki motosikal. Selalu aku menunggu-nunggu kepulangannya. Kerana apa? Kerana Ayah selalunya akan membawa `buah tangan’ untuk kami, berupa apam balik, kuih-muih, putu mayam, lontong, roti canai atau rojak mamak. Seronok kami makan anak beranak. Enak sekali. Cendol mamak turut sering dibawa Ayah.. Kami tahu Ayah jarang menghampakan .

   Seperti yang kukatakan dalam siri pertama, Ayah selalu membawa kami sekeluarga berjalan-jalan atau makan angin. Tempat yang selalu kami pergi ialah Tanjung Emas , Muar.  Bukan jauh pun, sejam perjalanan dari Bagan. Tetapi yang menariknya, kami pergi untuk berkelah dan bersarapan pagi di kawasan berhampiran pantai. Sebelum itu Ibu akan memasak nasi lemak, mi goreng dan sebagainya. Jadi setibanya di Muar, kami bentang tikar dan makan beramai-ramai dengan gembiranya.  Kunjungan ke Muar itu amat kunanti-nantikan. Kemudian kami juga beli dan makan bubur terigu (gandum) dan apam balik Muar yang sungguh enak itu.

  Kami juga kerap ke Kuala Lumpur. Dengan menggunakan kereta Ford Escort lama, kami ke KL dengan membawa seisi keluarga, termasuk datuk dan nenekku. Pelik sekali kereta kecil, tetapi boleh muat pulak. Ada sekali tu, kereta itu rosak pada waktu malam berhampiran Estet Mantin di Negeri Sembilan. Dalam kegelapan itu, Ayah cuba menahan kenderaan yang lalu lalang. Masih kuingat lagi, ada seorang pemandu keturunan India yang membantu. Kejadian itu tidak menghalang Ayah untuk membawa kami ke KL atau tempat lain.

  Dalam siri lalu, aku nyatakan  Ayah hebat  dalam sukan. Dia ada bercerita tentang  itu. Tetapi dia suka bercerita tentang kejayaan sekolahnya, hasil kerja kerasnya , dalam pertandingan senaman sekolah-sekolah daerah Batu Pahat. Kewibawaan dan kegigihannya memungkinkan kejayaan sekolahnya, Sekolah Bandar Tinggi.

  Berdasarkan cerita Ibu, Ayah berkahwin agak lewat, iaitu umur 28 tahun. Hal ini kerana dia perlu menyara adik-adiknya yang ramai. Kesibukan mengurus mereka menjadikan Ayah tak menang tangan. Dan apabila Ayah berkahwin dengan Ibuku, mereka dikurniakan 9 orang anak yang lahir agak rapat. Sekali lagi Ayah dan Ibu tak menang tangan melayan kerenah kami. Kecekapan Ayah dan Ibu berjaya menguruskan kami.

  Kejayaan adik beradikku dalam pelajaran, amat menggembirakan Ayah. Dia selalu bercerita kepada sesiapa tentang kejayaan abang dan kakakku. Abang sulung lulus HSC dan masuk Universiti Malaya. Abang kedua jadi pegawai kastam. Abang ketiga menjadi guru. Manakala kakakku masuk sekolah berasrama penuh, SM Tun Fatimah. Aku pula berjaya dalam STPM dan masuk Universiti Malaya. Pastinya Ayah amat gembra dengan kejayaan kami itu, begitu juga kejayaan adik-adikku yang lain dalam pelajaran.

Sesungguhnya, Ayah adalah segala-galanya.. Alfatihah Untuk Haji Siraj Sarpan..

 

4 comments:

  1. Masih kuingat senyumnya... Arwah abah memang mudah tersenyum, kan bang? Al-Fatihah. Moga roh abah, Hj Siraj bin Sarpan dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan dalam golongan mereka yang beriman dan beramal soleh. Amiin!

    ReplyDelete
  2. Ya, mudah senyum.. suka bergurau.. dan berbual.. selalu berbual lama dengan jiran depan rumah, Cikgu Yusof amin..

    ReplyDelete
  3. nastolgia silam yg pasti tak dapat dilupakan..cerita tentang ayah kau teringat aku tentang abah aku..kau mesti kenal kan..

    ReplyDelete
  4. Kenal sangat. Kau mengadu kat aku... Tetapi ayah kau bercakap yang baik tentang kau..

    ReplyDelete