Posts

Showing posts from 2012

MELANCONG KE SABAH

Image
DALAM BOT MENUJU PULAU MANUKAN Kunjungan ke Sabah bersama isteri dan lima orang anak kami baru-baru ini  mengundang kegembiraan kerana sudah lama berhajat ke sana . Hajat kami dimakbulkan Ilahi. Dengan pesawat MAS, kami mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Saya tidak menyangka LTKK besar dan moden, tidak seperti yang dibayangkan, malah lebih besar daripada lapangan terbang Auckland , Palembang dan Medan . DI TAMAN BOTANI, KAKI GUNUNG KINABALU Ada banyak tempat menarik di Sabah. Mula-mula kami  membelah banjaran Crocker untuk ke Kundasang, hampir tiga jam perjalanan dari Kota Kinabalu. Kami pergi ke Botanical Garden , terletak di kaki Gunung Kinabalu. Kami sampai diiringi hujan lebat dan suhu   yang dingin sekali. Pemandangan kurang jelas kerana berkabus.   Kami kemudian ke Ranau, iaitu pasar tamu Ranau dan kemudian ke Poring. Di situ begitu ramai insan berada di kolam air panas Poring. Kami pergi menapak ke Jambatan Gantung  (Ca...

MELAWAT AQUARIA DI KLCC

Image
IKAN ARAWONA  DI AQUA   Sudah lama saya hendak pergi ke Aquaria di KLCC, tetapi  asyik  ditangguhkan.. Kesempatan kelmarin semasa mengambil anak saya pulang dari New Zealand saya gunakan untuk melawat ikan-ikan di Aquaria itu..    Memang menarik. Pelbagai jenis hidupan laut, baik yang besar mahupun yang kecil ada di sana. Ikan arowana, arapaima,  ikan yu,  penyu, ular dan labi-labi dapat dilihat dengan jelas dan memukau perhatian. Cuma rasanya hidupan laut di akuarium Pulau Langkawi rasanya lebih banyak dan besar. JAGA KAT ATAS!!!    Kos masuk RM35 seorang, jadi kalau 6 orang RM210... Boleh tahan! Tak pa, yang penting kepuasan menyaksikan pelbagai spesies hidupan laut memberi sejuta kenikmatan!

AIR PAPAN - BERTEMU KEMBALI!

Image
Di pantai Air Papan Foto kenangan bersama sebahagian peserta Hari Keluarga SMKTA Bersama isteri di Air Papan Beach Resort Air Papan, Mersing - Kawasan pantai yang sudah tidak asing lagi, terutamanya kepada rakyat negeri Johor. Terletak 11 kilometer ke utara Bandar Mersing, pantai yang landai dan permai ini menjadi tumpuan sejak sekian lama.   Kali terakhir saya ke sini ialah  pada tahun 2002 - sudah 10 tahun tidak  ke mari! Kunjungan saya ke sini kerana menyertai Hari Keluarga SMK Tun Aminah, sekolah isteri saya.. Kira-kira 22 keluarga turut serta. Sungguh meriah.   Kami sampai di situ kira-kira pukul 1 tengah hari setelah berkonvoi dari Batu Pahat. Perjalanan hampir 3 jam agak meletihkan, tambahan pula jalannya berliku. Tetapi apabila sampai dan terpandang kawasan pantai terbentang di hadapan mata, penat pun hilang!   Pada petang hari itu, kami makan pisang goreng, keropok goreng dan karipap panas. Pada malamnya ada bacaan Yasin dan Tahlil. Khusyuk ...

JALAN-JALAN CARI MAKAN DI ALAI, MELAKA

Image
JOM MAKAN! Di mana-mana kita boleh makan, tetapi semalam , saya dan isteri bersama-sama 8 orang rakan yang lain telah berkonvoi ke medan selera di Alai, Melaka - 120 kilometer dari rumah saya! Lokasinya di restoran De Muara, Alai. Kenapa ke Alai? Kerana ingin melupakan seketika hiruk-pikuk dunia persekolahan dan bersantai di sana. Bertempat di muara sungai Alai, kami menikmati makanan laut seperti sotong, udang, ketam, kupang dan ikan, yang dimasak dalam pelbagai cara.  Sungguh enak! Ikan kerapu dimasak 3 rasa, ketam digoreng berempah, udang bakar, kupang goreng bercili, sotong goreng bertepung, nasi lemak panas dan 3 jenis air minuman. Sambil makan, kami berbual-bual mesra diselangi gelak ketawa.   Kos keseluruhan ialah RM 350 - dapat pula diskaun kerana kedai dimiliki rakan kepada Cikgu Khamsuldin.. Insya Allah kami akan `Jalan-jalan Cari Makan' lagi... Kami selamat sampai ke rumah jam 11.20 malam. Puas dan gembira!

PROGRAM BERBASIKAL

Image
BERSEDIA UNTUK BERKAYUH Semalam, 28 September, saya menyertai 25 rakan yang lain dalam program berbasikal Penolong Kanan Kokurikulum. Peserta dilepaskan Ketua Unit Kokurikulum JPNJ, Tuan Haji Kamarudin Sharif.     Kayuhan bermula pukul 3.30 petang. Ketika satu kilometer di perjalanan,saya baru menyedari yang saya belum lagi makan tengah hari! Disebabkan hari Jumaat, maka waktu tengah hari ke masjid. Balik dari masjid, mula mengemas barang-barang, kerana akan bermalam di Minyak Beku.    Ketika 3 kilometer,saya mula menyedari bahawa perut saya lapar dan kosong! Tetapi saya gagahi juga kayuhan dan tidak mahu terpisah daripada rakan-rakan. Perjalanan turut menempuh kawasan berbukit terutama di sekitar SMK Banang Jaya dan simpang ke Sungai Lurus.   Berbekal semangat dan kesungguhan, akirnya saya berjaya menamatkan kayuhan sejauh hampir 13 kilometer itu. Memang meletihkan mental dan fizikal! Jumlah masa kayuhan kira-kira 1 jam setengah.   Setelah penat...

KELEGAAN BERTANDANG!

Image
PERSEMBAHAN KAWAD KADET POLIS BARISAN TETAMU MAJLIS PERSEMBAHAN BERBALAS PANTUN Alhamdulillah.. itu yang dapat kulafaz, setelah sempurna sudah Majlis Anugerah Kokurikulum semalam. Setelah lebih sebulan membuat persiapan dan siang malam menggerakkan kerja bersama AJK Unit Kokurikulum dan AJK lainnya, maka majlis semalam akhirnya berjaya  dilaksanakan.   Kehadiran perasmi, Encik Mohd Arif Kamisan, peguam tempatan disambut dengan paluan kompang. Dalam ucapannya, beliau terkejut kerana tidak sangka majlis yang dihadirinya  lebih besar daripada jangkaannya.   Acara persembahan menyusul. Persembahan silat, berbalas pantun, tarian zapin, persembahan cooking with nature dan diakhiri kawad kaki Kadet Polis. Hujan lebat ketika kawad menyebabkan lokasi majlis dipindah ke dewan sekolah.   Majlis di dewan disambung dengan penyampaian pelbagai anugerah - dan majlis selesai pukul 9.30 pagi. Keseluruhannya, RM3,000 dibelanjakan. Yang penting, pelajar yang mengharumk...

SIRI 7: AYAH PERGI BUAT SELAMA-LAMANYA

Image
BERSAMA AYAH, IBU DAN NINI DI MAJLIS KONVO UM 1985 Cuti akhir tahun 1993, aku dan keluarga hendak balik kampung. Ketika itu isteriku baru melahirkan anak ketiga, Hadi Rusyaidi. Tidak sabar rasanya hendak menunjukkan cucu terbaru Ayah dan Ibuku. Sebelum itu aku sudah menelefon mereka tentang berita aku hendak balik.    Mendengar kami hendak balik, Ayahku segera pergi ke kebun durian yang terletak di Parit Bengkok , Bagan. Ketika berhenti hendak membelok ke Parit Bengkok. Ayahku dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang perempuan. Ayah cedera dan dibawa ke hospital Batu Pahat.    Aku tiba di Bagan dengan khabar yang mengejutkan bahawa Ayah mengalami kemalangan dan kini dirawat di hospital Batu Pahat. Aku menjadi kaget. Beberapa hari kemudian, Ayah dibawa ke Hospital Tun Aminah, Johor Bahru.     Aku berasa sedih. Bukan menyesali takdir, tetapi disebabkan kerana hendak menjamu aku dan keluarga buah durian, Ayah kemalangan. Sebelum itu, Aya...

KENANGAN BERSAMA AYAH (6)

Image
FOTO HARI RAYA BERSAMA AYAH DAN KELUARGA TAHUN 1987 Saya teruskan kisahku bersama Ayah – siri ke 6. Tetapi bukan sahaja bersama Ayah, juga dengan adik-beradik yang lain. Semasa kecil, Ibu menceritakan bahawa aku pernah termasuk ke dalam kolam sebanyak dua kali. Mungkin kerana aku merayau-rayau dan kolam itu di sebelah rumah.. Mujur Ayah dapat menyelamatkan aku. Tak tau pulak sama ada aku dah tenggelam atau tidak, atau sekadar di di gigi kolam! Semasa kecil, Ayah suka membawa aku, dan juga adik-adik yang lain naik motor ke sesuatu tempat.. Yang biasa aku ingat, ialah dibawa ke rumah Encik Urif, bapa saudaraku, untuk bergunting rambut. Dah gunting, bedak disapu ke wajahku. Sebelum balik, Encik Urif akan bagi duit kat aku. Suka, walaupun 20 sen! Ketika itu aku pada usia 6 tahun atau Darjah 1..  Semasa aku kecil aku kuat hisap poteng. Pagi petang nyet nyot! Kalau hilang poteng, maka Ayahku terpaksa pergi ke kedai beli yang baru. Aku masih ingat, mungkin usiaku 5 atau 6 ...

KENANGAN BERSAMA AYAH (5)

Image
FOTO BERSAMA AYAH, IBU, ADIK BERADIK DAN KHALID YUSUF (1986)  Saya teruskan pembicaraan tentang Ayah untuk siri ke 5 untuk tatapan semua. Masih ada lagi coretan untuk dibicarakan.      Ayah memang insan yang mempunyai banyak kebolehan. Selain hebat bersukan, Ayah bijak menulis khat jawi dan banyak lagi. Tetapi satu hal yang tidak berapa diketahui, Ayah pandai bermain alat muzik. Dalam hal ini, Ayah pandai bermain gambus. Hal ini terbukti ketika Ayah menunjukkan bakatnya bermain gitar kepada kami. Aku seronok mendengarnya. Begitu tenang dan mahir sekali dia bermain alat muzik itu.      Salah satu kesukaan Ayah ialah bercerita tentang kisahnya semasa muda. Bagaimana dia dia dan adik beradiknya membahagikan tugas membantu keluarganya. Ada yang menorah getah, ada yang menanam tebu, ada yang menanam sayur dan pelbagai lagi. Dalam hal itu, Ayahlah yang mengatur pelbagai urusan keluarga – dan tugasnya dilaksanakan dengan jayanya.    ...

KENANGAN BERSAMA AYAH (4)

Image
FOTO KELUARGA BERSAMA ARWAH AYAH DAN DATUK (1986) Saya teruskan kisah Kenangan Bersama Ayah untuk Siri ke 4. Masih ada  lagi peristiwa dan kisah-kisah bersama Ayah untuk tatapan pembaca.   Semasa bersama Ayah, Ayah ada perkataan, frasa atau ayat tertentu yang menjadi `trademark’nya. Sebagai contoh, `singgeh linjah’, `Menyain apa..’, `Pergi Belemam apa’ `Degeded Sehege, sehege hue-hue’ dan banyak lagi. Perkataan-perkataan berkenaan disampaikan dengan nada bergurau dengan rakan-rakannya,  malah dengan kami.  Aku pula terikut-ikut, dan aku ada perkataan  tertentu yang aku suka gunakan, contohnya `Lamperogong Seseme’ dan `Sontoloyo’..    Ayah bangun awal. Selepas  pencen, dia akan ke kebun membersihkan kebun atau sekitar rumah. Jika tidak, dia akan ke dapur bersarapan pagi dengan kopi panas. Ibuku telah faham, sebab itu pukul 7 pagi telah tersedia kuih-muih atau ubi rebus dan sebagainya. Sambil makan, ada sahaja yang dibualkan oleh Ayah de...

KENANGAN BERSAMA AYAH (3)

Image
AYAH DAN KELUARGAKU PADA HARI KONVOKESYENKU DI UM TAHUN 1985      AYAH DAN KAMI (HARI RAYA TAHUN 1986) Kuteruskan  kisah ‘Kenangan Bersama Ayah’ pada siri ketiga ini. Bukan niatku untuk bernostalgia tidak menentu, tetapi niatku untuk berkongsi pengalaman suka duka bersama Ayahku.  Ada mesej tertentu yang ingin kubawa, khasnya bagi mereka yang masih memiliki Ayah…   Satu pagi, ketika aku  berada dalam  Darjah 2, aku rasa seperti nak demam. Maka aku bangun dalam keadaan lesu dan segera memberitahu Ayah akan keadaanku. Lalu Ayah memangkuku dan berbicara dengan Ibu: `Tapa demam.. Tak payah sekolahlah’, sambil mengusap rambutku. Aku masih ingat, aku diangkat dan dibaringkan di atas tilam..Pada masa itu tak da rasa bersalah pun, kerana aku bukan demam, baru rasa nak demam.   Pada masa aku kecil, kami tidur dengan menggunakan kelambu, bagi menghalang nyamuk menghirup darah kami. Seringkali aku terjaga malam dan mendapati Ayah bertun...

KENANGAN BERSAMA AYAH (2)

Image
AKU (BERBAJU BIRU)  BERSAMA AYAH DAN ADIK BERADIK YANG LAIN. FOTO TAHUN 1984 Ingin saya menyambung cerita `Kenangan Bersama Ayah’ sebagai meneruskan siri pertama. Sesungguhnya pengalaman itu elok dikongsikan. Mungkin dapat dicerakinkan demi kebaikan bersama.   Sekitar usiaku 7 tahun, Ayah  kerap juga membawa aku ke pasar Batu Pahat dengan menaiki motosikal. Tiba di Bandar, kami minum kopi sambil makan lontong istimewa  (lontong itu masih ada hingga sekarang) Rupanya rakan Ayah agak ramai. Kekadang lama juga tunggu dia bersembang dengan rakan. Tetapi part yang best ialah membonceng motosikal. Berangin dan dingin!    Pada musim buah-buahan, Ayah akan mengajakku pergi mengambil buah durian yang gugur. Suka tengok durian bertaburan di sekitar pokok. Ayah juga membina pondok durian. Aku suka juga tunggu di pondok durian – menunggu durian gugur. Bedebuk! Mendengar bunyi durian gugur, aku  bergegas mengambilnya dan membawa pulang.  ...

KENANGAN BERSAMA AYAH

Image
AKU DAN KELUARGA DI I-CITY SHAH ALAM Entah mengapa, malam ini aku ingin berbicara tentang Ayah. Meski beliau telah kembali mengadap Ilahi pada tahun 1993, namun kenangan bersamanya tetap semarak di dalam jiwa. Ayahku pergi ketika usiaku 33 tahun dan sudah mempunyai 3 cahaya mata.. Ketika kecil, aku takutkan Ayah. Beliau seorang yang tegas. Banyak arahan dilakukan saban hari. Suruh buat itu dan ini. Tetapi tak banyak mana pun. Antara tugasku ialah angkat kain jemuran, sidai baju, bersihkan  semak samun di kebun, pergi kedai beli barang, malah pinjam surat khabar di rumah jiran. Aku cukup berterima kasih kepada Ayahku kerana beliau suka baca akhbar. Kalau ke bandar, dia mesti beli. Kemudian kami berlanggan akhbar. Kerana Ayah, aku jadi addicted baca akhbar. Sekarang beli 3 paper sehari, kekadang 4 , kekadang 5! Masa pinjam akhbar dari jiran, ada yang muncung.. Aku sabar aje la, kerana mereka seperti tak berapa minat nak bagi pinjam! Kemudian aku bila tak da surat khabar, pergi ke...

DI PERTENGAHAN SYAWAL

Image
BERAYA DI RUMAH EN KHAMSULDIN Hari ini sudah 17 Syawal. Bagi kami di Johor, Hari Raya masih rancak berjalan. Kunjungan ke rumah saudara mara dan rakan masih berlaku. Majlis Marhaban berjalan terus. Pada awal Hari Raya, kami balik ke Selangor, kemudian sebahagian daripada mereka datang ke Johor. Majlis Marhaban membabitkan jemaah surau, taman perumahan dan guru-guru sekolah telah disertai. Maka memang terasa kemeriahan Hari Raya.  Memang terasa penat ke sana sini, tetapi semua itu direlakan! Seronok berjumpa saudara mara dan rakan taulan yang bukan selalu ditemui.  Baru-baru ini rakan-rakan grup guru berhimpun di Chaah, Segamat. Lebih 10 ahli dapat dikumpulkan.. Ada yang sanggup datang dari KL dan Pahang, semata-mata keinginan untuk bersua muka dan berkenal mesra! Maka, Syawal menjadi medan ukhuwah dan bermaaf-maafan...

SYAWAL DATANG LAGI

    Kini sudah di penghujung bulan Ramadan. Dengan Syawal tinggal beberapa hari, saya dihantui kesibukan, baik urusan sekolah, urusan keluarga mahupun urusan tugas saya sebagai pensyarah sambilan di UTHM.     Tetapi Hari Raya tetap diraikan. Dan rumah kena kemaskan, termasuk urusan mengecat bahagian luar rumah. Ramai ahli keluarga saya mengatakan bahawa saya mewarisi sifat suka mengecat daripada arwah ayah saya. Saya mengakuinya - kerana semasa kecil, suka melihat ayah mengecat, walaupun tidak dibenarkan mengecat!     Pada Raya tahun, kami akan balik ke Banting, Selangor tempat isteri saya selama 2 hari.  Pemergian ke sana agak singkat, lagipun anak kami, Mohd Asyraf akan menduduki peperiksaan SPM. Jadi kena fikir tentang hal dirinya yang nak periksa.     Rutin kami pada Raya ialah pergi ke rumah Bonda pada malam Raya dan berbuka puasa di sana. Kemudian balik semula ke rumah. Pagi esoknya solat Raya di Parit Imam dan selepas itu baru beraya d...

NEW ZEALAND MENGGAMIT NURANI!

Image
PEMANDANGAN BANDAR AUCKLAND DARI  MENARA SKY TOWER Meskipun telah dua bulan berlalu sejak saya meninggalkan bumi Kiwi, namun kenangan semasa di sana memang sukar dilupakan. Suhu yang mencecah 12 darjah Celsius bukan halangan untuk saya menikmati  percutian bersama isteri di sana, di sampIng melawat anakanda di sana, Syuhada.   New Zealand memang cantik. Pantainya berfiord, kawasan desanya bersih dan dipenuhi pohon pelbagai warna - kebanyakan berwarna jingga. Seronok melihat kambing biri-biri dan lembu tenusu begitu banyak sepanjang perjalanan saya ke beberapa tempat di desa Pulau Utara. DI AIR TERJUN TIKIPUNGA, WHANGAREI   Saya menyewa kereta di sana dan dengan kereta Hyundai Getz, saya berkereta sejauh 200 kilometer ke utara Auckland dan sejauh hampir 300 km ke selatan. Antara bandar yang saya kunjungi ialah Whangarei, Rotorua, pekan Orewa selain mengunjungi beberapa tempat di Auckland seperti Monut Eden dan Domain. GIZA TE PIUA DI ROTORUA ...

SEMINGGU PUASA

Image
DI RUMAH KHAMSULDIN BERSAMA ISTERI DAN SDR YAHYA ISA Seminggu berpuasa - Alhamdulillah dapat dilaksanakan dengan baik dan kesihatan mengizinkan.  Setakat ini pula isteri saya dapat memasak juadah berbuka. Dari mihun goreng ke nasi lemak, ayam kari, asam pedas dan sebagainya.. Terbuka selera!    Cuma keadaan di rumah belum begitu terurus. Sekarang ini tembok depan sedang dibuat yang baru dan. Sebelum ini tembok tepi telah dibina. Kos keseluruhan dijangka RM9,000. Dah lama rancang, tetapi baru kini dilaksanakan. Semuanya dijangka siap empat lima hari lagi.     Tetapi kos itu terlalu kecil berbanding dengan kos membina dan melengkapkan rumah rakan saya, Khamsuldin. Pendawaian elektrik  sahaja RM25,000. Kabinet dapurnya RM12,000 dan banyak lagi kos lain. Keseluruhannya pembinaan dan kelengkapan rumahnya memakan kos lebih setengah juta ringgit!     Kami berbuka puasa bertiga di rumah. Memanglah tidak sama situasinya berbanding jika semua ahli ...

TULISAN SAYA KELUAR LAGI...

Image
Tulisan saya keluar lagi.. Kali ini surat aduan yang saya hantar ke akhbar Utusan Malaysia disiarkan. Aduan saya tentang Jalan Bindu yang sempit, berlubang dan tiada berlampu isyarat lengkap dengan gambar menjadi berita utama dalam ruangan Suara Johor.    Menyentuh hasil tulisan saya, telah banyak disiarkan. Sama ada dalam bentuk sajak, pantun, surat pembaca,berita sekolah dan sebagainya. Sebahagiannya dapat dikumpul, sebahagian lagi tidak sempat dikumpulkan.   Saya mula menghantar tulisan ke media massa sejak tahun 1986. Pada masa itu, saya menghantar artikel tentang langkah-langkah memperkasa sukan bola sepak di negara kita dan kemudian tersiar dalam akhbar Berita Harian. Panjang artikel itu kira-kira 1,500 perkataan. Ketika tersiar, saya rasa amat gembira!  Selepas itu saya  mula menghantar pelbagai karya ke akhbar  Utusan Malaysia, Watan, Mingguan Kota, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Jendela Selatan, majalah sekolah dan lain-lain.   Walaupu...

TERINGAT TANAH SUCI

Image
Di dataran hadapan Kaabah Meski sudah hampir sepuluh bulan meninggalkan Tanah Suci Makkah dan Madinah, kenangan dan ingatan tempat berkenaan masih  bersarang di minda.     45 hari di sana bukan masa yang singkat. Ke Madinah, Makkah, Ja`ranah, Jabal Rahmah, Gua Hira`, Mina, Muzdalifah dan Jeddah -semuanya segar dalam ingatan. Di pekarangan Masjid Nabawi Makkah     Pemergian ke sana kerana menunaikan Fardu Haji merupakan pengalaman paling indah dalam hidup saya, sesuatu yang diidamkan sejak mula bekerja. Akhirnya Allah memakbulkan saya dan isteri untuk berada di sana. Bersama isteri dan rakan di Laut Merah, Jeddah    Teringat beramal ibadah di Masjid Nabawi, Madinah -sambil pandangan tertancap ke makam Rasulullah. Juga semasa beriktikaf di Masjidil Haram, Makkah. Juga  semasa melontar Jamrah, berjalan dari Safa ke Marwah. Juga berzikir dan bermunajat di Padang Arafah. Syahdu. Segalanya tergambar di minda.   ...

GUNUNG LEDANG - TAK JEMU MENDAKINYA!

Image
  Gunung Ledang, gunung tertinggi di selatan Semenanjung Malaysia mempunyai ketnggian 1,100 meter. Walaupun jauh lebih rendah berbandiang Gunung Kinabalu atau Gunung Tahan, gunung Ledang punya tarikan tersendiri.    Setakat ini, saya telah mendaki sebanyak 4 kali. Kali pertama, tahun 2007 bersama 10 guru dan 80 pelajar semasa perkhemahan bersepadu sekolah saya.. Ketika itu saya sampai ke Batu Hampar. Kali kedua dan ketiga pada tahun lalu. Dan terkini  2 bulan lalu, sampai ke Kolam Gajah.    Mengapa saya suka ke sana? Kerana pendakiannya itu agak mencabar. melalui celah pokok dan akar, laluan yang agak curam dan dapat menyaksikan rimba belantara di negara kita. Pada peringkat awal, perlu mendaki 800 anak tangga.  Kemudian melalui denai dan kawasan berhutan.   Pendakian memang meletihkan dan menguji stamina. Tetapi setakat ini saya masih mampu mendaki, walaupun sampai ke Kolam Gajah. Oklah tu!   Apabila pergi mendaki beramai-ramai (k...

GURINDAM TENGAH MALAM

Image
Malam-malam gelap gelita belum lagi menutup mata Pandang kiri pandang kanan kerja belum saya siapkan Esok sekolah mengajar pelajar agar mereka tidak tersasar kemas beg kemas buku agar esok tidak bercelaru rasa hendak minum kopi dapat idea serta inspirasi fail buku di atas meja rumah jadi pejabat kedua nak tidur masih berkira pastikan semua dah bersedia kerja  lama belum siap kerja baru kena tatap Syukur saya kepada Allah badan sihat tiada resah Anak isteri dalam ingatan bertaut kasih moga berpanjangan Sekian dahulu daripada saya panjang umur bersua kita -MHS

SEMOGA BERBAHAGIA, NUR IZZATI ZULKIFLI

Image
   Hari ini saya dan keluarga berada di Serdang, Selangor, kerana majlis kahwin anak saudara, Nur Izzati Zulkifli. Kami sampai di rumah pengantin pada pukul 11 pagi. Di sana bertemu adik-beradik dan saudara mara.      Saya masih ingat Nur Izzati ketika masih kecil, sekitar tahun  1990. Dengan rambut ikal, muka bujur sirih dan mata yang  redup, dia yang ketika itu berusia 2 tahun kelihatan comel sekali.      Kini dia sedang menuntut pada tahun akhir di bidang perubatan, Universiti Kaherah. Suaminya juga sedang menuntut, tahun akhir di Uniten. Yang menariknya, suaminya hafiz Quran. Subhanallah.      Saya sempat berselawat mengiringi pengantin lelaki ke bilik jamuan. Sebelum pulang, kami bergambar kenangan. Semoga Izzati dan suami bahagia di alam rumahtangga!     6.45 petang, saya selamat sampai di rumah di Batu Pahat. Penat tetapi gembira dapat hadir di majlis kahwin anak sauda...

RENUNGAN DINIHARI

Image
Mungkin sukar dimengerti badai semalam kian reda kembali ke dalam dirii pulang  melerai kekusutan pohon maghfirah di bumi merekah menguak rimbunan gundah menyita bayangan resah mendampingi nur Tuhan meski noda bergentayangan. Mungkin acapkali dihadapkan enigma bertautan elegi bersahutan dilema berpanjangan tetapi kemanisan sebuah pasrah adalah apabila membina swadaya memugar getir seribu liku melapah bebayang kalut hingga terasa diri semakin dekat dengan rahmat Tuhan. Perjalanan perlu diteruskan mendamba barakah dalam kehidupan. -MHS

HARI YANG SIBUK

Image
    Seawal pukul 5.30 pagi, saya sudah bangun. Selepas mandi dan bersolat Subuh, saya bersiap sedia untuk ke Parit Sulong, untuk menyertai program kayuhan basikal bersama-sama rakan guru.     Tiba-tiba hujan turun dengan lebat kira-kira pukul 6.30 pagi. Rasanya macam nak batal aja kayuhan ini. Saya berbincang dengan  Haji Ramlan, dan memutuskan untuk menunggu hujan reda.     Syukur hujan reda. Maka saya, Haji Ramlan, Encik Razib dan Encik  Mashudi berkayuh sehingga ke Tongkang Pechah. Perjalanan sejauh 14 kilometer. Kemudian kami berpatah balik dan bersarapan pagi di rumah Amirul Syafiq. Enaknya makan nasi lemak, pisang goreng, kuih muih dan buah rambutan!    Setelah berbual mesra dengan Encik Hozami dan rakan-rakan, kami  kembali ke rumah masing-masing. Saya pula pergi pameran Pelancongan (Matta Fair) di BP Mall.  Ada banyak promosi pelancongan ke dalam dan luar negara. Kemudian  saya menghadiri satu ...

WADAH AKSARA DAN BLOG SMKPS

 Wadah Aksara dan Blog SMKPS. 2 perkara yang semakin mendapat perhatian dan dianggap antara kekuatan SMKPS sekarang.   Bermula dengan tugasan menghasilkan buletin semasa kejohanan Balapan dan Padang MSSD Batu Pahat, dengan menggunakan judul Citra Juara, Pengetua SMKPS yang berpuas hati, telah meminta buletin itu  terus dihasilkan di peringkat sekolah. Maka dengan AJK yang sama diterajui oleh Haji Ramlan Pit, Puan Umi Kalsum Idham, Amirul Syafiq dan Azilah Muharam, buletin terus dihasilkan dan kini sudah mencapai 13 minggu!   Ketara sekali bahawa sidang redaksi begitu komited dan amat berminat menghasilkan buletin sekolah. Masing-masing mengambil peranan dan setiap Jumaat, buletin telah tersedia untuk dicetak dan pada hari Isnin, naskhah telah berada dalam tangan guru dan pelajar!   Maka setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan editor dan redaksi Wadah Aksara yang berjaya meneruskan usaha menghasilkan buletin. Jika semasa MSSD, sekolah kita mendapat pujia...

LGBT

Image
  PELAJAR SEKOLAH HARAPAN MASYARAKAT  LGBT. Mengapa saya mahu sentuh LGBT di sini. Bukankah tajuk itu boleh menimbulkan rasa kurang senang atau tidak selesa. Tetapi saya tetap mahu sentuh juga, kerana saya ambil berat.       Lesbian. Gay. Biseksual dan Transgender. Ancama baru masyarakat Malaysia. Walaupun isu  gat, lesbian dan homoseks telah wujud ribuan tahun, tetapi masih melingkari kehidupan manusia. Kaji kisah dalam Quran akan nasib yang menimpa kaum Ad dan Thamud. Tentang Sodom, Tentang bagaimana kemurkaan Allah kepada umat Nabi Lut. Tentang muka bumi yang terbalikkan, dan adanya Laut Mati di Jordan.          Kesemua itu menggambarkan Allah melaknat golongan gay dan homoseks. Dosa yang amat berat dijanjikan Allah. Dan di negara kita ada yang mahu cuba menghalalkannya atas nama kebebasan individu dan hak asasi manusia... Nauzubillah..    Kepada mereka yang dil luar sana yang sudah terjebak dengan gejala L...

KINI TINGGAL BERDUA...

Image
FOTO KELUARGA SEMASA BERCUTI  DI DANAU TOBA, MEDAN FEBRUARI LALU   Saya dan isteri kini tinggal berdua di rumah. Anak sulung belajar di Universiti Sains Islam , Nilai. Anak kedua belajar di New Zealand, anak ketiga di Program Foundation Universiti Islam Antarabangsa, anak keempat di MRSM Jasin dan anak bongsu di SM Sains Johor.     Apabila tinggal berdua, memang kesunyian dirasakan. Jika dahulu sibuk nak hantar anak ke sekolah, ke kelas tuisyen atau membeli itu ini untuk mereka, kini saya dan isteri secara teorinya punya masa yang banyak. Nak ke masjid, menonton TV, buat kerja sekolah, beriadah, makan di luar atau hendak menjenguk bonda di Bagan senang dilakukan.     Teringat zaman punya anak kecil - melayan seribu kerenah mereka. Kelima-lima anak saya lahir agak rapat, jadi kekadang memang tidak menang tangan. Ketika anak sulung saya berumur 10 tahun, dia mempunyai empat adik! Walaupun penat pada masa itu, segala-galanya dapat dilakukan ...